Siakap Keli

Kerajaan Arab Saudi Rancang Anugerahkan Sebidang Tanah Di Mekah Kepada Mohamed Salah

Naib Presiden kerajaan tempatan di Mekah, Fahd Al-Rowky pada Isnin telah mengumumkan perancangannya untuk menganugerahkan sebidang tanah kepada pemain sensasi jersi nombor 11 Liverpool, Mohamed Salah sebagai penghargaan ke atas kejayaannya merangkul anugerah Pemain Terbaik Tahunan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Salah mendapat anugerah tersebut setelah merekodkan 43 gol dan 14 bantuan goal dalam penampilan pertamanya bersama Liverpool. Di dalam EPL, Salah setakat ini merekodkan sebanyak  33 jaringan gol dan 10 bantuan gol.

Al-Rowky memberitahu media tempatan bahawa beliau menimbangkan beberapa pilihan mengenai cara hadiah tersebut hendak disampaikan kepada Salah.

‘Ada beberapa pilihan yang boleh dibuat berhubung perkara ini. Cara pemberian tersebut dilaksanakan akan ditentukan oleh Salah sendiri dan juga kerajaan Arab Saudi. Jika kerajaan memberi kebenaran, dia boleh memiliki sebidang tanah di Mekah di luar Tanah Haram.

”Pilihan satu lagi adalah dengan membina dan menamakan sebuah masjid bersempena dengan namanya,” kata Al-Rowky yang turut memberitahu bahawa pilihan ketiga adalah dengan menjual tanah tersebut dan memberikan wang hasil jualan kepada Salah.

Beliau turut menjelaskan bahawa tujuan pemberian hadiah itu juga adalah untuk menggalakkan golongan muda yang berbakat untuk melangkah lebih jauh dan menunjukkan kepada mereka siapa yang patut dijadikan idola.

Ujarnya lagi, ia juga sebagai ucapan terima kasih kepada Salah di atas keperibadiannya yang boleh dianggap sebagai seorang utusan Islam di Britain.

Kehadiran Salah ke EPL buat kali kedua mencetuskan fenomena apabila jaringan demi jaringan yang dihasilkannya ternyata berjaya memukau semua mata peminat bola sepak di seluruh dunia. Sebelum ini, sebuah keluarga bangsawan di Lebanon mengumumkan akan mengagihkan makanan percuma setiap kali Salah menjaringkan gol. Di Mesir, gergasi telekomunikasi dunia, Vodafone mengumumkan pelanggannya di negara itu bakal menikmati 11 minit panggilan percuma bagi setiap gol yang dijaringkan salah.

Di Anfield, penyokong-penyokong Liverpool malah mencipta satu sorakkan yang berbunyi, ”and if it’s good enough for you I’ll be Muslim too.” Tahniah Mohamed Salah.

Siakap Keli

Berita sejurus ia berlaku? Itulah saya....