Siakap Keli

”Logik Ke Pertaruhkan Nyawa Sebab Nak Putih Dan Gebu?” Doktor Ini Dedah Risiko Jangkitan Kuman Akibat Suntikan Tidak Bertauliah

Seakan trend yang boleh dilihat sekarang, servis suntikan untuk mendapatkan kulit yang gebu dan putih, dipromosikan secara berleluasa di media sosial. Wanita terutamanya ramai yang memilih kaedah ini untuk mendapatkan kulit yang lebih cerah, kononnya untuk tampak lebih cantik. Persoalannya, selamatkah suntikan pemutihan kulit yang dikatakan berkesan ini?

Pendedahan oleh Doktor Rafidah Abdullah mungkin boleh membuka mata masyarakat di luar sana mengenai bahaya jangkitan kuman semasa melalui prosedur suntikan seperti ini. Penjual seharusnya mempunyai kesedaran supaya berhenti memudarakan kesihatan orang lain.

Anda sebagai pembeli juga harus bijak menilai. Jangan hanya kerana terlalu obses mendapatkan kulit cerah, anda sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri. Cantik itu subjektif, bukan hanya dinilai dari segi kulit dan rupa luaran sahaja. Beringatlah sebelum terlambat. Semoga bermanfaat.

Mempertaruhkan nyawa sebab nak putih & gebu?

Saya perhatikan makin tak logik masyarakat kita ini. Anda tidak pernah dengar ke jangkitan kuman melalui prosedur injeksi IV macam ini?

Anda nampak tak kemerahan kulit atas yang dibulatkan di gambar kanan? Itu menunjukkan kemungkin kuman masuk dan menyebabkan reaksi kemerahan di kulit.

Kami, pengamal perubatan dilatih, dilatih dan terus dilatih untuk mengamalkan “universal precaution” iaitu cara yang steril (sangat bersih) bila mengendalikan prosedur IV macam ini. Anda tengok lah cara plaster itu diletak. Sangat mengundang kuman masuk sekali ke dalam badan manusia.

Bila kuman dah masuk badan, maksudnya ia boleh merebak seluruh badan dengan sekelip mata. Jantung kita pam darah 5L seminit. Jadi, jangan terkejut kuman boleh hinggap ke otak (jadi sawan, tidak sedar dan koma), injap jantung (dah melekat disini, fungi jantung terjejas dan mungkin perlu pembedahan untuk ganti injap baru sebab dah rosak), hati, buah pinggang dan macam-macam lagi. Kuman yang biasa adalah Staphylococcal Aureus dan sampai tahap begini, ianya boleh membawa maut [1].

Kuman boleh masuk melalui beberapa portal (saya letak anak panah merah):

1. Bahan yang dimasukkan boleh membahayakan anda kerana cara ianya dicampur kita tidak tahu. Pengamal perubatan ada prosedur dan langkah-langkah (kami panggil SOP – standard operating procedure) perlu diikuti untuk mengelakkan kuman masuk. Mereka ini ada SOP ke.

2. Melalui tiub panjang dimana bahan itu mengalir sebelum masuk badan pun kuman boleh hinggap.

3. Melalui jarum (kami panggil venflon/venofix) dan cara ianya dimasukkan ke dalam vena anda juga mengundang kuman jika kawasan kulit tidak dicuci dengen betul / yang menyucuk itu tidak memakai sarung tangan dan macam-macam lagi [2].

4. Plaster yang berserabut begitu, tak payah cerita lah. Saya tengok pun takut.

Ini belum diceritakan komplikasi entah ubat apa yang masuk dalam badan, itu lagi masalah.

Prosedur ini HANYA BOLEH DILAKUKAN di hospital, klinik dan premis berdaftar (maaf, medispa BUKAN klinik berdaftar) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Yang cucuk anda itu MESTI ada kelayakan dan sudah melalui proses kredentialing-sila minta sijil dan dokumen mereka sebelum dok menghulurkan tangan dan merisikokan badan dan nyawa anda.

Pengamal perubatan berhati-hati membuat prosedür ini di fasiliti kesihatan; tapi anda senang-senang tadah tangan kepada orang yang TIDAK BERTAULIAH? Sungguh mudah nak mempertaruhkan nyawa ya.

Mari kita sama-sama doakan penjual ini mendapat kesedaran supaya berhenti memudharatkan (mungkin membunuh) orang lain.

Pembeli? Pendapat saya 2×5, 5×2 sahaja. Kenapa nak gebu, putih bagai? Cuba terima sahaja diri kita ini seadanya. Kalau tiada pembeli maka tiada lah penjual. Apa nak jadi, saya pun tidak tahu.

Rafidah Abdullah,

Pakar Perunding Perubatan & Buah Pinggang.

Rujukan:

[1] Staphylococcus aureus bacteremia, risk factors, complications, and management. Keynan Y, Rubinstein E.Crit Care Clin. 2013 Jul;29(3):547-62.

[2] CDC Centres for Disease Control & Prevention https://www.cdc.gov/injectionsafety/

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.