Siakap Keli

Bapa Saudara Kejam, Tegar Bunuh Anak Buah Berusia 3 Tahun Dengan 30 Tikaman Bertubi-tubi

Seorang kanak-kanak dibunuh kejam apabila ditemui dengan 30 kesan tikaman dipercayai ditikam secara bertubi-tubi oleh bapa saudara di kediaman keluarganya di Taman Kepong, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R.  Munusamy berkata kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika mangsa, 3 tahun, sedang bermain-main dengan suspek yang berusia 21 tahun.  Suspek dimaklumkan tidak menetap bersama tapi hanya datang sekali-sekala untuk melawat keluarga berkenaan.

Mayat ditemui oleh neneknya di dapur rumah teres dua tingak ketika mahu mengambil barang.

Ketika kejadian, ibu mangsa dipercayai berada di tingkat atas sedang tidur bersama seorang lagi anak kecil manakala nenek mangsa berada di tingkat bawah.

Munusamy memberitahu bahawa nenek mangsa telah keluar seketika.  Apabila tiba di rumah, dia yang mahu mengambil sesuatu di dapur terkejut dengan kesan darah di lantai dan selimut putih yang menutup sekujur tubuh.

“Apabila nenek mangsa menyelak kain putih berkenaan, nenek mangsa menjerit kerana mendapati cucu perempuannya berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.

“Sejurus itu, nenek mangsa terus ke tingkat atas untuk memberitahu emak mangsa (mengenai kejadian itu) dan pada masa sama melihat suspek berada di tingkat sama sedang bermain dengan bayi (adik mangsa),” katanya.

Munusamy berkata emak mangsa bingkas bangun dan melihat mangsa lantas meminta pertolongan jiran untuk menghantar anaknya yang sudah tidak sedarkan diri itu ke sebuah hospital swasta berhampiran.

Beliau berkata pemeriksaan badan yang dijalankan pada mangsa di hospital swasta itu mengesan terdapat 30 kesan tikaman, dipercayai akibat tusukan objek tajam.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

“Suspek ditahan di dalam rumah itu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh manakala motif kejadian masih dalam siasatan polis,” katanya.

Tanpa mendedahkan sama ada suspek menghidap sakit mental atau sebaliknya, beliau berkata polis hanya merampas sehelai baju dan seluar jeans panjang berwarna hitam milik suspek manakala senjata yang digunakan untuk menikam mangsa masih belum ditemui. – Bernama

Nur Farra