Siakap Keli

Hebat Nafikan Pecubaan Suarez Dan Cavani, Penjaga Gol Mesir El-Shenawy Tolak Anugerah MOTM Kerana Agamanya

Nampaknya umat Islam di seluruh dunia kali ini menyambut dua perayaan serentak. Satu, sambutan Aidilfitri setelah tibanya Syawal, dan kedua, pesta bola sepak agung dunia, Piala Dunia yang berlangsung di Rusia. Keterujaan yang dirasai bukan sahaja dalam kalangan penyokong, malah ia turut diraikan oleh beberapa negara yang majoritinya dibarisi pemain beragama Islam seperti Mesir, Arab Saudi dan Senegal.

Rata-rata pemain yang beragama Islam ini boleh dikatakan sangat kuat pegangan agamanya seperti Mohamed Salah dan beberapa nama besar lagi. Pasti, pembawaan diri mereka di temasya bola sepak terbesar di dunia ini menjadi perhatian ramai pihak terutamanya para peminat yang begitu mengagumi bakat dan peribadi mereka.

Jadi, walaupun dalam keterujaan mereka beraksi di pentas tertinggi itu, pemain-pemain beragam Islam ini tidak boleh tidak perlu sentiasa meletakkan agama di tempat tertinggi, dan inilah yang dipersembahkan oleh penjaga gawang Mesir, Mohamed El-Shenawy, 29, kepada dunia.

Bagi mereka yang berkesempatan untuk menonton perlawanan antara Mesir menentang jaguh Amerika Selatan, Uruguay, pasti anda teruja dengan aksi yang diperagakan oleh Shenawy. Biarpun pada akhirnya Mesir kecundang di penghujung saingan, namun ketangkasan Shenawy menyelamatkan pintu gawangnya daripada asakkan penyerang Uruguay berkelas dunia seperti Luiz Suarez dan Edinson Cavani melayakkannya di angkat sebagai Pemain Terbaik Perlawanan (MOTM).

Sudah menjadi tradisi dalam mana-mana penganjuran perlawanan bola sepak, MOTM akan diberi satu anugerah peribadi bagi menghargai aksi dan semangat juang yang dipamerkannya. Shenawy juga tidak terlepas daripada diberikan penghargaan sedemikian rupa. Namun, kerana agamanya, nampaknya Shenawy terpaksa menolak secara baik anugerah yang diberikan kepadanya.

Ia gara-gara anugerah yang diberikan, replika cawan arak berwarna merah (red goblet), ditaja oleh Budweiser selaku penaja rasmi anugerah MOTM FIFA untuk Piala Dunia kali ini. Budweiser adalah syarikat pengeluar minuman alkohol berpangkalan di Amerika Syarikat. Sebagai serang penganut agama Islam, sudah tentulah Shenawy terpaksa menolak pemberian hadiah sedemikian rupa.

Sebaik sahaja perlawanan sengit itu tamat dan pengulas mengumumkan Shenawy diangkat sebagai MOTM, kamera merakam aksi Shenawy yang mengangkat tangan dan menolak pemberian trofi tersebut. Malah, tindakan yang dipamerkan oleh Shenawy itu turut menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen.

Rata-rata berpendapat bahawa Shenawy bertindak sedemikian kerana tegahan agamanya yang mengharamkan alkohol. Malah, mereka turut mengutarakan pendapat bahawa tindak tanduk Shenawy bakal diikuti pemain-pemain beragama Islam lain sekiranya diangkat menjadi MOTM kelak.

Penganugerahan minuman keras kepada MOTM sebelum ini turut menimbulkan kecelaruan ketika ia diguna pakai di dalam Liga Perdana Inggeris sebelum ini. Ia berlaku apabila pemain-pemaian bergama Islam yang beraksi di liga itu akan diberikan hadiah berupa trofi berbanding sebotol arak yang biasa diterima oleh pemain bukan beragama Islam.

Misalnya, pada tahun 2012, Yaya Toure pernah menolak daripada menerima anugerah sebotol arak dengan memberitahu media bahawa ”Saya tidak minum minuman berakohol kerana saya seorang Muslim, jadi anda boleh simpan (botol arak)”.

Nama-nama besar yang mungkin berpeluang dijulang sebagai MOTM seperti Mesut Ozil dan Paul Pogba, yang juga beragama Islam juga dijangka akan menolak pemberian hadiah yang disediakan oleh Budweiser.

Sumber : The Sun

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.