Siakap Keli

(Video) Anjing Disembelih, Direbus Dan Dibakar Untuk Dijadikan Hidangan Majlis Perkahwinan Di Kemboja

Satu video tular dimana beberapa ekor anjing menyalak dari dalam sangkar ketika melihat ‘rakan-rakannya’ disembelih, dipanas dan dibakar dalam satu majlis kenduri perkahwinan di Kemboja.

Dalam video tersebut, anjing-anjing itu dipercayai dikurung dan ditempatkan di sebuah rumah sembelihan di Siem Reap, di mana turut kelihatan beberapa ekor anjing sedang menggelempur di atas lantai selepas disembelih, hanya beberapa meter daripada sangkar tersebut.

Dalam satu lagi video, dapat dilihat dengan jelas beberapa orang lelaki sedang melayur anjing tersebut manakala yang lain menanggalkan bulu anjing dengan pisau, dipercayai untuk dijadikan hidangan di majlis perkahwinan.

Ketua Pengarah Eksekutif Sound Of Animal, Michael Chour, 48, yang merakam detik-detik menyedihkan itu berkata, anjing-anjing ini dikurung di rumah penyembelihan dan kematian adalah takdir untuk haiwan ini jika tidak diselamatkan.

”Anjing-anjing ini sedia untuk diambil dan dipelihara daripada rumah perlindungan kami di Thailand. Salah seekornya didapati sedang bunting dan melahirkan lima ekor anak anjing.

”Ia adalah satu perasaan yang bercampur baur apabila kami berjaya menyelamatkan anjing bunting ini tetapi terpaksa membiarkan yang lain. Tetapi matlamat utama kami adalah untuk mendekati penyembelih-penyembelih anjing supaya aktiviti ini dapat dikurangkan,” katanya.

”Klip video barbeque anjing ini dirakam di sebuah perkampungan di Osmach, dimana keluarga ini sedang menyediakan barbeque daging anjing sebagai hidangan di majlis perkahwinan.

”Walaupun ia perkara biasa di Kemboja, namun ia satu permandangan tidak boleh diterima.

”Pada saya, anjing-anjing ini seperti anak saya sendiri. Ia amat sukar untuk diterima,” katanya lagi.

Chour yang berasal dari Paris, Perancis berpindah ke Asia dan menjadikan Thailand sebagai tempat untuk pertubuhannya beroperasi dalam usaha memerangi industri penjualan daging anjing sejak 2005.

Biarpun ketika ini isu yang sama yang berlaku di China semakin mendapat perhatian masyarakat global, namun apa yang berlaku di Kemboja masih tidak diketahui ramai pihak.

Ujarnya, menghentikan perniagaan jualan daging anjing adalah matlamat utamanya, namun perlu mengamalkan pendekatan berhemah memandangkan ia (makan daging anjing) umpama satu tradisi di Kemboja.

”Cara yang kami amalkan adalah dengan menjalankan rundingan dengan rumah-rumah sembelihan ini supaya kami tidak dihalang untuk kembali ke sini.

”Kami berusaha untuk tidak menghakimi satu budaya dimana ia merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka.

”Kebanyakkan pengendali pusat sembelihan ini terdiri daripada generasi ketiga, mereka tidak dapat membezakan apa-apa. Dan disebabkan itu, kami tidak mahu menghukum mereka,” kata Chour.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=LvHk5U71LZM]

 

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.