Siakap Keli

Apakah Hukum Cas Telefon Persendirian Guna Plug Dan Elektrik Masjid

Jika mengecas gajet anda di rumah sendiri atau di tempat awam seperti restoran-restoran makanan segera, hal itu akan dilihat sebagai perkara biasa.

Namun pernahkah anda terfikir bagaimana pula jika anda mengecas gajet anda di dalam masjid? Bolehkah makmum menggunakan tenaga elektrik di masjid untuk mengecas gajet persendirian? apakah hukumnya?

Isu ini dikupas oleh Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan di dalam laman web rasminya dan berikut adalah jawapan beliau.

“Pada asalnya harta yang dimiliki oleh masjid adalah bersifat wakaf hasil daripada sumbangan umat Islam. Justeru, kegunaan harta masjid termasuk penggunaan elektrik hendaklah berdasarkan niat para pewakaf itu sendiri.”

Kaedah fiqah juga ada menyebut:

 

كل متصرف عن الغير فعليه أن يتصرف بالمصلحة

“Setiap yang bertindak bagi pihak orang lain, maka hendaklah ia bertindak berasaskan maslahah,”

 

Bekas Mufti Mesir, Dr.Ali Jum’ah menegaskan bahawa dalam hal ini, secara fiqahnya, setiap perkara yang diwakafkan untuk masjid seperti karpet, lampu, penyapu, air dan lain-lain tidak harus digunakan kecuali untuk keperluan masjid.

Rasulullah SAW amat memelihara setiap perkara yang dikhususkan untuk masjid sebagaimana sabda Baginda SAW yang bermaksud :

 

“Sesungguhnya anak-anak batu itu benar-benar berseru (agar tidak dikeluarkan) kepada orang yang mengeluarkannya dari masjid.”

Hadis riwayat Abu Daud, No 460

 

Kesimpulannya, mengecas gajet persendirian atau komputer riba pada asalnya adalah harus jika digunakan untuk perkara yang baik dan berfaedah seperti membaca Al-Quran, pengajian agama atau terdesak menghubungi ahli keluarga.

Namun, jika ianya digunakan untuk tujuan negatif seperti kemaksiatan dan sia-sia, ia tidak diharuskan kerana telah bertentangan dengan matlamat asal maslahah harta masjid.

Disamping itu, disunatkan juga bagi mereka yang menggunakan harta masjid untuk memberikan sumbangan kepada tabung masjid sebagai membantu meringankan kos perbelanjaan dan penyelenggaraan masjid demi manfaat bersama.

Sumber : Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Amy Noreffaziera

Jatuh bangun sendiri.. Tiada apa yang mustahil selagi kita berusaha..
_Jinsei o tsuyoku shite tatakau (Keep strong and fighting for life)_ =D ..#Ridergirl #Amiey