Siakap Keli

(Video) ”Kita Akan Jadi Kuasa Dominan”, Trump Umum Penubuhan Tentera Angkasa, Cabang Keenam Tentera AS

Tentera angkasa? Kalau sebut tentera angkasa, yang terlintas di minda tentulah babak-babak di dalam filem seperti Star Wars dan Star Trek. Kisah perang dua angkatan tentera berbeza, Rebel dan Empire dalam siri Star Wars sungguh mengujakan. Pelbagai jenis pesawat pejuang yang boleh menembak cahaya laser untuk memusnahkan pihak lawan, memang akan sentiasa diingati.

Kalau sebut pasal filem Star Trek pula, pengembaraan Kapten James T. Kirk bersama krunya di dalam pesawat penjelajah antara bintang USS Enterprise meneroka dan berdepan dengan musuh-musuh di planet baru, sesuatu yang sangat menyeronokkan untuk ditonton. Selama ini, kisah peperangan di angkasa mungkin hanya berlaku dalam imaginasi manusia atau sekadar diangkat sebagai subjek ‘buat duit’ di layar perak sahaja.

Tetapi ia mungkin menjadi realiti tidak lama lagi apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin telah mengeluarkan arahan penubuhan Pasukan Tentera Angkasa sebagai cabang keenam angkatan bersenjata negara kuasa dunia tersebut. Tujuan penubuhan angakatan tentera baru itu dikatakan bagi melindungi kepentingan AS di luar angkasa kelak. Umum sudah pun mengetahui bahawa AS kini sedang mendahului pelumbaan untuk mengusai angkasa dan menghantar manusia pertama menjejakkan kaki ke Planet Marikh.

‘Ianya tidak cukup dengan sekadar adanya kehadiran AS dalam persaingan mengusai angkasa. AS perlu menjadi kuasa dominan di angkasa.

”Saya dengan ini mengarahkan Jabatan Pertahanan dan Pentagon untuk dengan segera menyelesaikan beberapa proses tertentu yang diperlukan untuk penubuhan cabang keenam angkata tentera ini,” kata Trump ketika berucap di White House.

Trump dalam pada itu turut memberitahu bahawa AS tidak akan sesekali membiarkan negara seterunya seperti China dan Rusia menjadi kuasa pendahulu di angkasa lepas. Bagaimanapun Trump tidak mendedahkan secara terperinci idea penubuhan angkatan tentera pertama seumpamanya di dunia itu.

Sebaliknya, Trump memberitahu bahawa penubuhan angkata tentera tersebut akan di asingkan daripada tentera udara, namun mempunyai kedudukan yang setara dengan cabang-cabang tentera AS yang lain. Selain tentera udara, AS turut memiliki pasukan bersenjata tentera darat, tentera marin, tentera laut dan pengawal pantai.

”Kali ini, kehadiran AS di angkasa lepas bukan sekadar meninggalkan tapak kaki atau memacak bendera. Kita akan melakukan lebih lagi. AS akan memastikan kewujudan jangka panjang kuasanya di angkasa lepas, meluaskan ekonomi dan menjayakan misi untuk menjejakkan kaki di Marikh,” kata Trump lagi.

 

Sumber : BBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di