Siakap Keli

Jaringkan Gol Menentang Magribi, Cristiano Ronaldo Terus Catat Rekod Baru

Cristiano Ronaldo, satu nama dalam dunia bola sepak yang cukup besar. Berjaya membuat peminat bola sepak tak kira peringkat usia untuk mengagumi bakat dan kejaguhannya di atas padang. Gol demi gol, trofi demi trofi dan rekod demi rekod yang di raih bersama gergasi Sepanyol, Real Madrid seolah-olah dimilikinya dengan hanya memetik jari.

Kali ini, Ronaldo datang bersama Portugal untuk mengganas pula di pentas dunia, dalam saingan Piala Dunia di Rusia. Hatrik dalam perlawanan pertama menentang Sepanyol, dan satu gol ketika turun beraksi beradu tenaga dengan pahlawan-pahlawan Magribi, siapa tahu tahun ini tahun Portugal untuk memiliki trofi agung dunia bola sepak itu. Sekali gus melengkapkan kabinet trofi antarabangsa milik Ronaldo, setelah berjaya menjulang trofi Piala Eropah di bumi Perancis, dua tahun lalu.

Piala Dunia kali ini mungkin sudah ditakdirkan sebagai pentas untuk Ronaldo menyinar. Baru dua perlawanan peringkat kumpulan berlalu, Ronaldo sudah pun menjaringkan empat gol, dan yang lebih menarik Ronaldo sudah pun berjaya memecahkan rekod lama di peringkat Eropah yang sudah berusia 62 tahun.

Ketika beliau menyudahkan sepakan percuma yang bergitu bergaya menerjah gawang Sepanyol yang dikawal David de Gea, sekali gus mencatatkan hatrik ke-51 miliknya, Ronaldo juga sebenarnya berjaya menjaringkan gol ke 84, menyamai jaringan Ferenc Puskas. Ada apa dengan rekod 84 gol milik Ferenc Puskas ini?

Seperti yang dikatakan tadi, rekod itu sudah pun berusia 62 tahun dan dalam tempoh itu, Puskas diangkat sebagai penjaring gol terbanyak Eropah sepanjang zaman. Puskas mencatatkan keseluruhan 84 gol disepanjang 89 penampilannya bersama skuad Hungary di antara tahun 1945 hingga 1956.

Dengan satu gol dijaringkan Ronaldo pada minit keempat menentang Magribi, Ronaldo berjaya menyumbat keseluruhan 85 gol ke jaring lawan disepanjang 152 penampilannya bersama Portugal, sekali gus gelaran penjaring gol terbanyak Eropah sepanjang zaman bertukar tangan.

Kini ia milik Ronaldo! Satu-satunya pemain yang menjaringkan gol lebih banyak daripada Ronaldo di pentas antarabangsa ketika ini adalah Ali Daei dari Iran, dengan jaringan sebanyak 109 gol.

Jika mengambil kira empat gol yang dijaringkan Ronaldo dalam dua perlawanan awal sahaja, Ronaldo dijangka akan terus menggila di pentas ini sekiranya cabaran Iran dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan berjaya di atasi. Berbanding tiga edisi Piala Dunia terdahulu, Ronaldo hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja bagi setiap edisi, menjadikannya cuma 3 gol.

Malah, aksi Ronaldo yang begitu memukau dalam perlawanan pertama menentang Sepanyol turut mendapat pujian bekas pengendali skuad England, Terry Venables.

”Dia berlari, berlari dan terus berlari. Dia boleh merembat, menghantar, menanduk dan menjaringkan gol melalui sepak percuma.

”Ronaldo secara konsisten menjaringkan gol di peringkat tertinggi, seperti Messi, dia jarang menghadapi masalah di atas padang. Ada ramai pemain bola sepak yang begitu menyerlah dan mempamerkan permainan cantik dalam dunia bola sepak seperti Diego Maradona dan Johan Cruyff.

”Tetapi secara peribadi, Ronaldo memiliki semuanya yang ada mahukan sebagai seorang pemain bola sepak dan tidak mustahil, Ronaldo mampu mengatasi mereka.

”Mereka (Maradona dan Cruyff) adalah yang terbaik di era mereka beraksi, tetapi Ronaldo dan Messi bersaing untuk menjadi yang terbaik sepanjang zaman,” katanya.

Benar, kita sebagai peminat bola sepak cukup bertuah untuk menjadi saksi kepada persaingan Ronaldo dan Messi untuk menjadi yang tebaik, Greatest of All Time (GOAT) yang sebenar!

Sumber : Express UK, The Independent

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.