Siakap Keli

Tuan Rumah Dua Benua, Ini 6 Fakta Menarik Piala Dunia Rusia 2018

Piala Dunia di Rusia sudah hampir seminggu berlangsung. Dalam kemeriahan umat Islam menyambut Syawal, peminat bola sepak la paling beruntung apabila pesta Piala Dunia tiba serentak dengan sambutan hari raya. Siang boleh bertandang ke ruma saudara mara, malam hari ‘berkampung’ depan televisyen menonton siaran langsung dari Rusia. Meriah betul.

Meskipun peminat pasukan Belanda dan Itali, serta beberpa lagi skuad ternama dunia seperti Chile dan Amerika Syarikat tercari-cari pasukan mana yang mahu disokong dalam edisi kali ini, Piala Dunia 2018 turut membawakan beberapa fakta menarik yang lain.

Sambil-sambil makan kuih raya, jom layan fakta-fakta menarik mengenai Piala Dunia kali ini di bawah.

1. Dua Benua, Bukan Lagi Dua Negara

Piala Dunia 2002 menyaksikan negara-negara yang layak bertanding beraksi di dua negara berbeza yang menjadi tuan rumah, iaitu Jepun dan Korea Selatan. Tetapi kali ini, Rusia sebagai tuan rumah menjadi penganjur yang lebih bersejarah. Kenapa?

Sebab Piala Dunia kali ini dianjurkan di dua benua. Sebahagian berlangsung di Eropah, sebahagian lagi berlangsung di Asia. Walaupun cuma satu negara tuan rumah, Rusia.

Apa yang perlu anda tahu adalah, Rusia adalah negara terbesar di dunia dengan 25 peratus tanah Rusia terletak dalam benua Eropah dan selebihnya di Asia. Contohnya, jarak antara bandar paling barat Rusia yang terletak di benua Eropah, Kalingrad dengan bandar paling timur yang terletak di benua Asia, Ekaterinburg adalah 2,415 km, hampir menyamai jarak antara bandar Moscow dengan bandar London. Kedua-dua bandar Rusia ini turut menjadi lokasi perlawanan Piala Dunia diadakan.

2. Brazil Ambil Alih Tempat Sepanyol

Brazil dan Sepanyol kekal sebagai antara pasukan pilihan untuk memenangi trofi kejohanan Piala Dunia kali ini. Tetapi, Brazil sebelum bermulanya Piala Dunia sudah pun mengambil alih posisi Sepanyol sebagai pasukan paling mahal beraksi kali ini.

Dengan nama-nama besar yang membarisi skuad Brazil seperti Neymar, Coutinho dan Firmino, maka tak hairanlah nilai skuad dari Amerika Selatan ini adalah sebanyak €671.5 juta. Lebih menarik, purata umur lima orang pemain paling mahal dalam skuad Brazil ini hanyalah 24 tahun.

3. Panama Skuad Paling Murah

Panama membuat kemunculan kali pertama di Piala Dunia dengan skuad bernilai €5.25 juta sahaja, menjadikannya skuad paling rendah nilainya dalam kalangan negara-negara bertanding yang lain.

Negara Amerika Tengah ini pernah muncul naib juara CONCACAF sebanyak dua kali. Untuk pusingan play-off Piala Dunia rantau tersebut, Panama berjaya mencapai kedudukan lebih tinggi daripada pasukan kebangsaan Amerika Syarikat.

4. 1/5 Rakyat Iceland Mahu Ke Rusia

Iceland sejak kebelakangan mula meninggalkan kesan dalam dunia bola sepak dunia, terutama ketika skuad tersebut berjaya menjinakkan England ketika pertemuan di saingan Eropah dua tahun lalu. Menurut laporan media, dikatakan 66 ribu orang warga Iceland cuba mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan Piala Dunia di stadium kali ini.

Dengan penduduk sekitar 333 ribu orang. Ini bermakna, kira-kira 20 peratus populasi Iceland dijangka akan meninggalkan negara tersebut untuk ke Rusia bagi memberi sokongan kepada skuad kebangsaan mereka.

5. Pemain Paling Tua

Membuat penampilan di pentas Piala Dunia pada usia 45 tahun, memang perkara luar biasa, tetapi itulah pencapaian yang berjaya dibuat oleh penjaga gol veteran Mesir, Essam el-Hadary. Dia sebelum ini telah menjadi Kapten untuk Mesir dalam pusingan kelayakkan.

Rekod pemain paling tua beraksi di Piala Dunia sebelum ini dipegang oleh penjaga gawang Colombia, Faryd Mondragon ketika turun beraksi menentang Jepun di Brazil pada tahun 2014, pada usia 43 tahun.

6. Mungkin Format Piala Dunia 32 Negara Terakhir

Jika perancangan Presiden FIFA, Gianni Infantino berjalan lancar, Rusia mungkin menjadi tuan rumah terakhir yang menganjurkan Piala Dunia dengan format 32 negara. Walaupun format 48 negara dijangka akan dilaksanakan pada Piala Dunia 2026, namun ada laporan yang mengatakan bahawa Infantino sedang mempertimbangkan permintaan Konfederasi Bola Sepak Amerika Selatan (CONMEBOL) agar rancangan membesarkan saiz pasukan bertanding dipercepatkan.

Jika benar, format 48 pasukan bakal dilaksanakan di Piala Dunia 2022 di Qatar, sekaligus memberi lebih tekanan kepada tuan rumah untuk menerima 16 pasukan dan menganjurkan 16 perlawanan tambahan.

Sumber : The Week, Yes Crowd, Dailytimes, AD

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.