Siakap Keli

Miliki Warna Kulit Seperti ‘Lobster’, Kanak-Kanak Malang Ini Dipinggir Masyarakat Kerana Risau Berjangkit

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun yang mempunyai masalah kulit dikenali sebagai chronic infant psoriasis hingga menyebabkan kulitnya bertukar menjadi merah seperti ‘lobster’ perlu berhadapan dengan masyarakat yang memandang serong kepadanya dan sering bertanya sama ada ia penyakit yang berjangkit atau tidak kepada ibu bapanya.

Maisie Buchanan sebelum ini terpaksa menghabiskan masa selama enam minggu di hospital apabila ia didiagnosis dengan masalah psoriasis yang menyebabkan kulitnya kelihatan seperti udang yang dilayur di atas api.

Ibu bapanya, Lesley Buchanan, 35, dan Alistair Buchanan, 36, mereka perlu membiasakan diri berhadapan dengan kritikan orang ramai yang menganggap bahawa apa yang berlaku kepada Maisie disebabkan kegagalan mereka sebagai ibu bapa untuk menjaganya. Malah, ada yang menganggap bahawa Lesley dan Alistair sengaja mendedahkan Maisie di bawah cahaya matahari hingga kulitnya berubah warna.

Maisie kini terpaksa dipakaikan dengan sarung tangan bayi khas setiap malam bagi mengelakkannya daripada berterusan menggaru kulit dan mencederakan diri sendiri. Kadang-kala, Maisie menangis kesakitan apabila kulitnya yang bermasalah itu luka dan sering kali senyuman hilang daripda wajahnya.

Bagaimanapun, Maisie kini dapat menjalai kehidupan sedikit selesa setelah mendapat suntikan ubat secara mingguan daripada hospital dan disapu dengan krim khas oleh ibu bapanya sebanyak empat kali sehari.

Namun, ia tidak mengubah apa-apa apabila melibatkan tanggapan orang ramai. Setiap kali Maisie dibawa keluar ke jalanan oleh ibu bapanya, kanak-kanak yang masih tidak mengerti apa-apa ini sering menjadi tumpuan orang ramai yang hairan dan risau dengan fizikalnya.

”Kulit Maisie sangat sensitif. Ia boleh bertukar menjadi merah dengan cepat dan jika ia berlaku, Maisei akan kelihatan sangat berbeza. Tetapi apa yang lebih menyakitkan apabila orang awam menegur dan tidak memahami keadaan yang dihadapi oleh anak kami.

”Mereka akan bertanya, apa yang tidak kena dengan anak kami, seolah-olah kami sebagai ibu-bapa mengabaikan anak kami.

”Saya hanya mampu menjawab, ‘Tiada apa yang tidak kena dengan anak kami, dia seorang kanak-kanak yang sangat gembira tetapi memiliki masalah kulit’,” kata ibunya.

‘Ada juga bercakap bahawa kami mendedahkan anak kami terlalu lama di bawah cahaya matahari atau terlupa meletakkan krim pelindung cahaya pada kulitnya.

”Malah ada juga yang menganggap kami sengaja mencurahkan air panas pada Maisie. Saya terfikir, adakah mereka benar-benar menganggap bahawa kami melakukan hal itu pada anak kami?

”Ia sangat menyakitkan. Seolah-olah ditikam dengan pisau apabila masyarakat berkata hal yang tidak baik terhadap anak kami,” kata Lesley lagi.

Maisie menghidapi penyakit chronic infant psoriasis yang menyebabkan kulitnya merah, menggelupas dan kering. Psoriasis hingga kini masih gagal difahami sepenuhnya oleh ahli perubatan, namun mereka berpendapat ia berpunca daripada masalah pada sistem imun seseorang.

Simptom-simptom yang ditunjukkan juga berbeza antara pesakit, sama ada hanya biji merah kecil dan kering sehinggalah kesan ekstrem seperti yang berlaku pada Maisie.

‘Dia akan menggaru pada waktu malam, apabila bangun pagi, kami melihat kesan darah pada kuku dan luka pada kulit badannya,” kata ibunya lagi.

Maisie mula menunjukkan simptom-simptom psoriasis ketika berusia 16 minggu sebelum biji merah mula timbul dan menyebabkan Maisie kelihatan tidak selesa.

Lesley turut berkongsi mengenai sikap sesetengah orang ramai yang risau jika penyakit yang dihadapi oleh Maisie boleh berjangkit kepada orang lain.

”Saya pernah berhadapan dengan individu yang memandang penuh prejudis terhadap Maisie dan bertanya sama ada ia boleh berjangkit. Malah, mereka turut menjauhkan anak mereka daripada Maisie.

”Saya ketika itu teringin sangat mencari pembesar suara dan menjerit bahawa ‘anak saya menghidap penyakit psoriasis dan ia tidak berjangkit’,” tambah Lesley.

Lesley berkata, anaknya masih kecil dan tidak layak dilayan sebegitu kerana masih belum memahami apa yang berlaku pada dirinya.

Menurut laporan perubatan, psoriasis menjangkiti kira-kira 2 peratus atau kira-kira 125 juta orang penduduk dunia, dan ia paling kerap menyerang orang dewasa.

Psoriasis juga penyakit yang boleh diwarisi dan boleh menyerang apabila berlaku kecederaan pada kulit, tabiat merokok atau akibat stress. Mereka yang menghidapi psoriasis mempunyai kadar pertumbuhan sel kulit lebih pantas iaitu dibuat dan diganti setiap tiga hingga 7 hari berbanding orang normal iaitu diantara tiga hingga empat minggu.

Penyakit psoriasis adalah penyakit yang tidak berjangkit, namun ahli perubatan masih belum menemui penawar terhadap penyakit ini. Ketika ini, penghidap psoriasis hanya bergantung kepada krim, pelembap, phototherapy dan ubatan yang diambil secara makan atau suntikan sahaja untuk mengurangkan penderitaan yang dialami.

Sumber : Dailymail

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.