Siakap Keli

(Video) Pemuda ‘Tipu’ Nak Bagi Duit Raya Tampil Mohon Maaf Pada Adik Qistina

Baru-baru ini tular di media sosial sebuah rakaman video ‘tipu duit raya’ yang dilakukan seorang pemuda hingga mendapat kecaman netizen. Isu itu terus melarat apabila bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa ‘tipu’ dalam rakaman tersebut tampil melalui akaun laman sosial Facebook miliknya supaya pemuda tersebut berjumpa dan meminta maaf denganya.

Kecaman demi kecaman yang diterima, akhirnya pemuda tersebut yang dikenali sebagai Akmal Azudin hadir ke rumah keluarga adik Qistina untuk bertemu dengan ayahnya, Shahrulnizam Jaafar bagi menyelesaikan ketegangan yang timbul sekaligus memohon maaf atas kejadian yang berlaku.

Menerusi status terkini di laman Facebook Shahrulnizam, dia memaklumkan bahawa segala permasalahan yang berlaku diantara dia, Qistina dan Akmal sudah pun selesai.

”Si pelaku (Akmal) sudah tampil membuat permohonan maaf dengan penuh kekesalan dan ketulusan hatinya memohon maaf ke atas kesilapannya,” kata Shahrulnizam.

Sharulnizam pada masa yang sama turut berharap orang ramai yang mengikuti perkembangan kes tersebut untuk turut memaafkan kesalahan Akmal dan berhenti daripada terus mengecamnya.

Bapa kepada Qistina tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada individu-individu yang sudi menyumbang duit raya kepada anak serta dua orang lagi sepupunya sebelum ini.

Melalui kemas kini yang sama, Sharulnizam turut berkongsi rakaman video permohonan maaf yang dibuat oleh Akmal dirumahnya.

”Saya ingin memohon beribu kemaafan kepada adik Qistina Huda dan keluarga kerana telah memainkan perasaan mereka pada hari raya pertama tempoh hari,” kata Akmal.

Akmal turut memberitahu bahawa keputusan dibuat untuk mengadakan perjumpaan dengan keluarga Qistina disebabkan merasa kesal dengan perbuatannya sebelum ini.

Dia turut berharap kesilapannya yang dibuat sebelum ini menjadi pengajaran kepada orang ramai. Beberapa netizen juga dilihat meninggalkan komen positif pada kemas kini tersebut.

”Mulia hati seorang pemaaf. Tak semua orang punya hati pemaaf,” kata pemilik akaun Algz Dauz yang memuji sifat yang ditunjukkan oleh keluarga Qistina.

‘Alhamdulilah bagus jugak dia ni walaupun dia salah. Sekurang-kurangnya dia nak minta maaf siap buat video lagi. Kalau orang lain pasti dah malu sebab dah viral,” kata Srbn Nur Farahin Khairi pula.

Sumber : Shahrulnizam Jaafar

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.