Siakap Keli

3 Tahun Dalam Penjara Thailand, Bekas Banduan Manfaat Ilmu Buat Patung Harimau Raih RM5,000 Sebulan

Sepanjang 3 tahun menjadi penghuni tirai besi di Thailand, bekas banduan, Jeem, 49 kini memanfaatkan ilmu membuat patung harimau yang diperoleh dulu sebagai sumber pendapatannya untuk menyara keluarga.

Jeem yang dikenakan hukuman penjara atas kesalahan rasuah 13 tahun lalu menggunakan sebaik-baik pengetahuan yang dipelajari ketika di dalam penjara dulu sehingga membolehkannya meraih pendapatan lebih RM5,000 sebulan terutama ketika musim buah.

Katanya, patung harimau itu selain digunakan sebagai perhiasan serta pameran, ia juga berfungsi untuk menghalau haiwan liar di kebun, terutama kera, lotong dan monyet.

“Saya sedar status sebagai bekas banduan susah hendak mendapat pekerjaan, maka sebaik tamat menjalani hukuman pada 2005, saya buat dan jual patung harimau ini sebagai mata pencarian untuk menanggung keluarga.

“Setakat ini ada sahaja permintaan dan purata saya mampu jual antara 20 hingga 30 patung harimau sebulan yang rata-ratanya dibeli oleh pemilik kebun kelapa, dusun buah-buahan dan ada juga membelinya untuk tujuan perhiasan,” katanya ketika ditemui Bernama berniaga di tepi jalan Hutan Melintang-Bagan Datuk di sini, baru-baru ini.

Jeem yang merupakan anak jati Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernama, Selangor itu memberitahu, patung harimau tersebut dijual pada harga antara RM150-RM200 bergantung kepada kelebihan masing-masing.

“Ada patung yang dipasang dengan sensor elektronik dan bateri, bagi membolehkannya mengeluarkan bunyi harimau mengaum apabila mendengar suara kera atau monyet untuk menakutkan haiwan tersebut sehingga lari,” katanya yang menjual lebih 300 patung pada musim buah tahun lepas.

Jeem berkata dia mampu menghasilkan purata 13 patung dalam masa 8 jam dengan menggunakan bahan seperti polisterin, span dan karpet berbelang corak harimau.

Ayah kepada 10 orang anak itu berkata dia memilih untuk menjual patung ciptaannya yang diletakkan di atas bumbung kereta di tepi jalan berdekatan hutan dan dusun kerana merasakan ia mampu menarik perhatian orang ramai.

“Lokasi saya tidak tetap dan biasanya saya ikut gerak hati hinggakan hampir satu Semenanjung telah saya pergi berniaga. Sebenarnya buat patung ini ‘syok-syok’ sahaja kerana saya ada pendapatan tetap lain,” katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan yang membeli patung itu untuk tujuan perhiasan, L. Mahafri, 26, berkata beliau tertarik dengan patung berkenaan kerana saiz dan rupanya hampir sama dengan haiwan sebenar.

“Saya tak sangka mata patung harimau ini boleh menyala dan ia boleh mengaum,” katanya yang ditemani abangnya L. Venkateswararao, 30. – Bernama

Nur Farra

writ.er / [rahy-ter]
-noun
1. a peculiar organism capable of transforming caffeine into books.

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di