Siakap Keli

Ajaran Terpesong, Dakwa Bidan Boleh Masukkan Kembali Kandungan Luar Rahim, Doktor Ini Beri Teguran Tegas

Setiap pasangan yang berkahwin pasti megimpikan cahaya mata. Namun, apabila berjaya untuk hamil, ada yang diduga dengan keguguran ataupun masalah lain. Salah satunya, pasti anda pernah mendengar mengenai kehamilan luar rahim atau ‘ectopic pregnancy’.

Kebanyakan kes terjadi disebabkan kehamilan berlaku di dalam tiub falopio, dan apabila kandungan berkembang ia akan menyebabkan kesakitan dan pendarahan. Kebiasaannya, ini merupakan kes kecemasan dan janin harus digugurkan sepenuhnya kerana boleh mengancam nyawa ibu.

Tapi timbul pula dakwaan netizen agar kandungan tidak dibuang kerana ada ‘bidan’ yang boleh menyelamatkan kandungan tersebut. Doktor Muhammad Izzat lantas memberi teguran tegas kepada masyarakat agar tidak terpengaruh kerana hakikatnya kehamilan seperti ini tidak akan berjaya sampai ke penghujung.

Perkongsian ini dibuat kerana kami percaya masih ramai lagi yang mempercayai akan ‘perubatan kampung’ untuk menyelamatkan bayi biarpun berada di luar rahim. Jangan ambil risiko kerana nyawa ibu menjadi taruhan. Nasihat sudah diberi, terpulang pada untuk menilainya.

KEHAMILAN LUAR RAHIM MEMBUNUH

Wanita yang sedang hamil, tapi bila doktor mengesahkan beliau hamil luar rahim (ectopic pregnancy), kehamilan jenis ini takkan berjaya sampai ke hujung dan melahirkan seorang bayi.

Wanita perlu terima hakikat ini, bukannya berharap sesuatu keajaiban yang mana kehamilannya akan berjaya seperti orang lain.

Kehamilan luar rahim boleh pecah pada bila-bila masa sekaligus menyebabkan pendarahan yang banyak dalam ruang perut (abdomen) ibu, jika tidak dirawat dan dikenalpasti awal kesannya boleh membawa maut.

Maka doktor akan berbincang dengan pesakit pilihan-pilihan yang ada untuk menyelamatkan nyawa si ibu. Perbincangan ini merangkumi :

1) Umur kandungan
2) Keadaan kesihatan pesakit secara amnya
3) Paras ujian darah BetaHcg
4) Pilihan-pilihan rawatan yang boleh diberikan dan terdapat di hospital pesakit menerima rawatan

Lazimnya dalam kebanyakkan kes, rawatan secara pembedahan akan diberikan kepada pesakit
pembedahan ada 2 jenis – samaada dilakukan secara laparoskopi (dilakukan melalui bukaan lubang kecil pada perut dengan bantuan kamera) atau laparotomi (potongan besar pada perut jika pendarahan didapati di dalam ruang abdomen. Perlu tinggal di hospital dalam 2-4 hari, tempoh pemulihan lebih lama).

Perlu diingatkan pembedahan (tidak kira jenis) adalah untuk membuang kehamilan luar rahim. kesesuaian jenis pembedahan sama ada laparoskopi atau laparotomi akan dibincangkan bersama pesakit dan keputusan dibuat berdasarkan penilaian terbaik doktor yang merawat ketika itu.

Dengan berjumpa bidan tidak kira bidan NangNak, bidan melaka, bidan kelantan atau bidan siam terkenal sekalipun tak dapat merawat kehamilan luar rahim.

Silap haribulan urutan tanpa asas yang diberikan boleh menyebabkan kehamilan luar rahim itu pecah dan meragut nyawa ibu serta merta sebelum sempat dikejarkan ke hospital.

Jangan main main.

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Obstetrik & Ginekologi

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.