Siakap Keli

Dipercayai Menculik Seorang Gadis Dan Menghalang Tugas Penjawat Awam, Siti Kassim Ditahan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat memberitahu, Siti Kassim telah ditahan pada 12.40 malam kerana menghalang tugas penjawat awam serta susulan laporan polis dibuat seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya berusia 24 tahun dilarikan oleh Siti Kassim pada Khamis lepas.

Gadis itu dikatakan telah dilarikan ketika sedang menjalani pemeriksaan psikiatri oleh doktor di Hospital Kajang.

“Laporan polis juga telah dibuat oleh anggota polis yang mengiring wanita (yang berusia 24 tahun) tersebut berhubung kekecohan yang berlaku di wad pemeriksaan  ketika Siti Kassim menyerbu masuk walaupun cuba dihalang oleh pengawal keselamatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pihak polis walau bagaimanapun telah menyelamatkan mangsa dari sebuah rumah di kawasan kondominium di Segambut kira-kira 9 malam tadi.

Beliau berkata pihaknya terpaksa memecah masuk rumah berkenaan kerana mangsa enggan memberikan kerjasama dan menguncikan diri di dalam rumah bagi memastikan dia tidak  mencederakan dirinya dan orang lain.

Katanya mangsa telah dihantar semula ke Hospital Kajang untuk menjalani prosedur pemeriksaan yang tertangguh sebelum ini selain membolehkan pegawai penyiasat mendapatkan keputusan doktor.

Katanya kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan Seksyen 186 kanun sama iaitu menghalang tugas penjawat awam. – Bernama

Nur Farra