Siakap Keli

Hilang 2 Hari Lepas Hantar Penumpang Ke Selayang, Pemandu Grab Dijumpai Maut Dengan Kesan Jerut

Tular malam tadi apabila seorang pemandu kereta Grab dipercayai hilang dan tidak dapat dikesan.  Melalui WhatsApp Group pemandu-pemandu Grab KL yang telah dikongsi di laman media sosial, kehilangan pemandu yang hilang itu dikesan seawal jam 6.14 petang, Sabtu lalu.

Difahamkan, mangsa telah mengambil penumpang pada Khamis jam 9.34 malam dari Jalan Tun Tan Cheng Lock ke Selayang Baru.  Namun, sehingga Sabtu mangsa masih tidak pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi, lantas, keluarganya membuat keputusan untuk melaporkan kepada pihak polis.

Hasil usaha pemandu-pemandu Grab ini untuk menjejaki mangsa berhasil apabila pada jam 7.35 petang, kereta mangsa dikatakan dijumpai di sebuah flat di Selayang.  Pun begitu, pada jam 9.33 malam, seorang daripada ahli Group WhatsApp tersebut memberitahu bahawa mangsa telah dijumpai dengan kesan jerut di leher.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Tey Kong Seng berkata mangsa Aiman Nosri, 27, ditemui dalam keadaan tertungkup di tempat duduk belakang kereta kira-kira 8.20 malam.

“Mangsa ditemui tertungkup di mana kepalanya di bawah mengenai lantai kereta dan kaki di atas.

“Pemeriksaan polis turut mendapati terdapat kesan melecet pada leher mangsa namun tiada sebarang senjata dijumpai di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan yang dijalankan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Selangor menemukan dua telefon bimbit, sepasang kasut berserta stokin, sepasang selipar dan sehelai baju di dalam kereta berkenaan.

Tey berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Grab Transporter KL WhatsApp, Bernama

Nur Farra