Siakap Keli

Kes Altantuya, PDRM Kaji Tubuh Jawatankuasa Khas Pantau Siasatan

Berikutan kes pembunuhan Altantuya yang telah dibuka semula, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis akan meneliti sama ada wujud keperluan tubuh jawatankuasa khas untuk memantau kes.  Tambahnya lagi, kertas siasatan diteliti semula jika terdapat aspek baru dalam kes.

“Kita akan memanggil semula saksi-saksi terdahulu sekiranya mempunyai keperluan dan bukti baharu bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat tahunan ke-40 Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) di sini, hari ini.

“Pasukan penyiasat yang menjalankan siasatan berhubung kes ini juga akan dipanggil membantu siasatan dan kita berkemungkinan tubuh jawatankuasa untuk memantau penyiasatan yang dilakukan mereka,” katanya.

Noor Rashid juga memberitahu bahawa akan mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara berdasarkan bukti baru.

Pada 2009, bekas anggota Unit Tindakan Khas polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri didapati bersalah membunuh Altantuya.

Shaariibuu membuat laporan polis Jumaat lepas bagi membolehkan kes pembunuhan anaknya pada tahun 2006 dibuka semula.

Ditanya berhubung DSP Musa Safri, bekas pembantu (ADC) bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dikatakan saksi utama kes itu, Noor Rashid berkata pihaknya percaya Musa masih berada di dalam negara. – Bernama

Nur Farra