Siakap Keli

Rotan Anak Sampai Cedera Tubuh Badan, Pasangan Suami Isteri Didenda RM5,000

Gara-gara merotan seorang kanak-kanak lelaki sehingga menyebabkan cedera bahagian kaki dan tangan, sepasang suami isteri telah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Keputusan itu dijatuhkan Hakim Hilmiah Yusof terhadap pemandu lori berusia 33 tahun dan isteri, 27 tahun selepas mereka mengaku bersalah dengan pertuduhan yang dilemparkan kerana mencederakan kanak-kanak berusia 10 tahun itu dengan rotan.

Mereka  didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Bandar Damansara Perdana, di sini, pada 5.30 petang, 7 Mac lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

“Saya faham kamu merotan untuk mendidik kerana anak kamu nakal, namun kesan kecederaan yang dialami oleh kanak-kanak tersebut seolah-olah kamu ingin melepaskan geram dan kemarahan

“Kamu harus ingat anak ini adalah anugerah Allah, jangan kerana dia kanak-kanak, kamu perlakukan dia sebegitu rupa,” kata hakim itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memohon hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh mengambil kira kecederaan yang dialami mangsa.

Bagaimanapun, pasangan suami isteri itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mereka telah insaf dan mempunyai tanggungan anak yang lain.

Mengikut fakta kes, penganjur sebuah kem yang disertai mangsa mendapati ada kecederaan  di kedua-dua belah tangan, kaki dan mempunyai kecederaan lama di bahagian belakang badan kanak-kanak itu.

Ketika ditanya, mangsa menjawab dia dipukul oleh ayah tirinya ketika berada di rumah mereka sebelum laporan polis dibuat oleh penganjur kem berkenaan. – Bernama

Nur Farra