Siakap Keli

(Video)Tangisan Sayu Ibu Di Pintu Gua, Nasib 12 Pemain Bola Sepak Remaja Thailand Masih Tidak Diketahui

Usaha mencari dan menyelamat sepasukan pemain bola sepak remaja, yang pihak berkuasa percaya telah terperangkap dalam ruang satu gua di Thailand, dihentikan buat sementara waktu berikutan hujan lebat dan peningkatan paras air.

Anggota pasukan bola sepak tersebut seramai 12 orang berusia diantara 11 hingga 16 tahun dan seorang jurulatih berusia 25 tahun dilaporkan telah meneroka masuk dan terperangkap di dalam Gua Tham Luang Nang Non di wilayah Chiang Rai pada Sabtu, dipercayai masih hidup, menurut pihak berkuasa.

”Pihak berkuasa menjumpai kesan tapak kaki kanak-kanak tersebut, justeru kami percaya mereka masih hidup,” kata Passakorn Boonyalak, Timbalan Gabenor Chiang Rai.

Sebelum ini, pihak berkuasa juga dilaporkan turut menemui beg galas, basikal dan kelengkapan sukan pemain-pemain daripada Akademi Moo Pa di luar pintu masuk yang ditenggelami air, yang dipercayai melakukan lawatan ke gua tersebut selepas tamat latihan harian.

Peningkatan paras air yang membimbangkan juga dilaporkan telah menyukarkan tugas-tugas menyelamat oleh 17 anggota pasukan khas SEAL Tentera Laut Diraja Thailand, untuk meneroka keseluruhan gua tersebut yang dipercayai sejauh 6 hingga 8 km.

Menurut Kapten Anant Surawan, Ketua Cawangan Peperangan Khas memberitahu bahawa antara faktor-faktor yang menyukarkan usaha menyelamat tersebut adalah laluan masuk yang sempit telah ditenggelami air dan dipenuhi sampah sarap. Selain itu katanya, air yang keruh dan arus deras juga menukarkan keadaan.

”Kami berjaya memasuki ruang gua tersebut beberapa kilometer dan memasuki ruang kosong kedua yang terletak berhampiran pintu masuk gua.

”Di situ, kami menjumpai kesan tapak kaki dan beg galas yang ditinggalkan. Jadi kami mempercayai, kesemua mangsa telah memasuki ruang gua lebih dalam,” kata Leftenan Naponwath Homsai, salah seorang anggota SEAL yang terlibat dalam operasi menyelamat itu.

Ketika ini, anggota penyelamat dilaporkan sedang menunggu ketibaan pam air yang dijangka dapat memudahkan usaha menyelamat kesemua mangsa.

Pasukan SEAL tiba di lokasi kejadian pada Isnin bagi membantu operasi meneyelamat selepas usaha awal yang dilakukan oleh pasukan penyelamat tempatan gagal memberi sebarang hasil akibat kekurangan kelengkapan menyelamat.

Walaupun dengan keadaan hujan lebat dan paras air terus meningkat, pasukan penyelamat percaya bahawa terdapat ruang di dalam gua tersebut yang masih selamat dan tidak dimasuki air, dan yakin semua mangsa akan ditemui selamat.

Pada Isnin, semua keluarga mangsa telah mengadakan satu upacara keagamaan bagi mendoakan keselamatan kesemua mangsa di depan pintu masuk gua tersebut yang turut menempatkan sebuah patung Buddha.

”Saya tidak boleh tidur memikirkan nasib saya. Saya mengharapkan anak saya dan kesemua mangsa ditemui dengan selamat,” kata salah seorang ibu mangsa.

Thailand ketika ini sedang berada di musim hujan yang seringkali menyaksiakan berlakunya peningkatan paras air dan banjir.

 

Sumber : Al-Jazeera, Bangkok Post

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.