Siakap Keli

Kena Bayar RM20,000, Najib, Rosmah Tarik Balik Saman Rafizi Dan ‘Media Rakyat’

Ini adalah kali kelima bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Tun Razak menarik balik saman yang dibuat terhadap bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik pada 22 Mei serta Anggota Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee dan pemilik portal Mediarakyat.net, Chan Chee Kong pada 28 Mei berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 1 Jun lepas, beliau juga telah menarik balik saman yang difailkannya terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung isu sama iaitu 1MDB manakala pada  20 Jun lepas, Najib dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusoh menarik balik saman fitnah terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd dan dua yang lain berhubung siri posting pembaca yang diterbitkan dalam portal itu pada 2014.

Hari ini, beliau bersama isteri sekali lagi telah menarik balik saman fitnah terhadap Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli serta pemilik sebuah portal berita berhubung subsidi minyak.

Hal ini disahkan oleh Peguam Ranjit Singh yang mewakili Rafizi kepada pemberita selepas pengurusan kes dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rohani Ismail.

Oleh itu, pasangan suami isteri tersebut diperintahkan untuk membayar RM20,000 kepada Rafizi dan pemilik portal ‘Media Rakyat’ Chan Chee Kong selaku defendan kes saman berkenaan.

Pihak Najib dan Rosmah juga telah mengesahkan hal ini setelah memfailkan saman itu pada 16 April 2015 dan mendakwa Rafizi telah memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada 22 Nov 2014.

Mereka juga mendakwa Chan telah berkongsi rakaman itu di dalam akaun Facebook Media Rakyat yang boleh diakses secara bebas oleh pengguna Internet seluruh dunia.

Mereka berkata Chan telah gagal mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dengan tidak mengesahkan atau menyiasat kesahihan tuduhan-tuduhan di dalam kenyataan itu sebelum menyiarkannya dan  menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang difikirkan sesuai oleh mahkamah, faedah dan kos. – Bernama

Nur Farra