Siakap Keli

Dikatakan Bakal Ditangkap, Wartawan ‘Berkampung’ Depan Rumah Najib

Lebih 30 pengamal media dikatakan berkumpul di luar kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini berikutan desas-desus bekas perdana menteri itu akan ditahan malam tadi. Beberapa dari mereka mengatakan bahawa mereka telah diminta untuk bersedia di Langgak Duta. Hal ini terjadi kerana mereka telah mendapat maklumat bahawa siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan siap dalam jangka waktu terdekat (semalam) dan dipercayai pihak berkuasa akan menangkap Najib.

[youtube https://www.youtube.com/watch?v=BT17WSKP1FA]

 

Namun, penafian mengenai perkara itu telah dibuat oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyatakan perkara sama apabila Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika dihubungi berkata pihaknya tidak bercadang membuat serbuan atau menangkap Najib pada masa ini.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan kediaman bekas perdana menteri itu masih dikawal ketat oleh pihak polis dengan balai polis bergerak ditempatkan di situ. Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib berhubung penyelewengan berbilion ringgit daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu Najib turut disiasat oleh SPRM berhubung kes SRC International Sdn Bhd, sebuah lagi syarikat yang terlibat dalam isu 1MDB. Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini.- BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.