Siakap Keli

Bijan Pakzad, Lelaki Di Sebalik Jenama Beg Tangan Mewah Disebut-Sebut Ketika Ini

Bijan, satu jenama yang disebut-sebut rakyat Malaysia hari ini. Semuanya gara-gara satu sidang media yang dibuat semalam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Banyak persoalan yang timbul mengenai Bijan ini. Kalau terkenal kenapa tak pernah dengar?  Siapa pengasas jenama ni? Mahal sangat ke? Kalau mahal, ada ke orang nak beli beg ni?

Kita pernah dengar mengenai Hermes sebelum ini, tapi Bijan berada di tahap yang lebih tinggi. Mungkin dari segi harga kedua-dua jenama ini tidak jauh berbeza, tetapi dari segi nilai eksklusif yang ditawarkan, nyata berbeza. Malah, butik Bijan yang ada di Beverly’s Hill di California turut diiktiraf sebagai butik paling mahal di dunia. Kalau butik dia pun paling mahal, barangan yang dijual tak perlu tanya lah berapa harganya kan.

Kalau korang nak tahu, pengasas jenama Bijan ini merupakan seorang lelaki yang berasal daripada Iran. Ya, Iran. Namanya Bijan Pakzad dan dilahirkan pada 4 April 1940. Jadi, Bijan itu sebenarnya adalah jenama bersempana nama pengasasnya. Tapi Bijan yang sebenar sudah meninggal dunia pada tahun 2011. Hari ini, jenama Bijan yang lebih dikenali sebagai House of Bijan diurus oleh anaknya, Nicholas Bijan Pakzad.

Sebelum Bijan berhijrah ke Amerika Syarikat. Bijan sudah pun mempunyai jenama dan nama di bandar Tehran. Bijan ini asal-usulnya bukanlah seorang yang miskin. Ayahnya merupakan seorang ahli perniagaan berjaya di Iran yang terlibat dalam industri keluli di sana. Jadi, Bijan boleh dikatakan adalah seorang individu yang sangat memahami citarasa golongan elit.

Bijan ini semasa usia mudanya memang seorang yang sangat bergaya dan berbakat dalam bidang rekaan. Bijan pernah dihantar menuntut ilmu oleh keluarganya ke Switzerland sebelum berpindah ke Florence, bandar yang terletak di Itali. Di Florence, Bijan mengambil kesempatan untuk mencipta nama apabila mula mengeluarkan pakaian lelaki dengan jenamanya sendiri selama 7 tahun.

Bijan kemudian kembali semula ke Iran. Dengan bantuan modal awal sebanyak US$ 1 juta yang diberi oleh ayahnya, Bijan memulakan perniagaan pakaian wanita pula kali ini dengan menggunakan cap dagangan Pink Panther.

Bijan kemudian berhijrah ke Amerika Syarikat pada tahun 1973. Tiga tahun kemudian, pada umur 32 tahun, Bijan nekad untuk membuka sebuah butik dengan namanya sendiri. Siapa sangka, sebuah butik milik orang Iran di muka bumi Amerika, hari ini menjadi rumah kepada pelbagai tokoh politik elit dan individu-individu yang mempunyai kekayaan di luar imaginasi untuk berbelanja.

Butiknya yang dikenali sebagai Rodeo Drive apada awalnya hanya menerbitkan beberapa wangian yang sangat eklusif dan layak dimiliki individu tertentu sahaja. Rodeo Drive juga lebih memberi tumpuan untuk menyediakan fesyen jenama mewah untuk golongan lelaki, sama ada mereka yang terdiri daripada golongan bangsawan mahupun raja daripada seluruh dunia sehinggalah pemimpin-pemimpin kerajaan, artis Hollyywood kategori-A dan ahli perniagaan terkemuka dunia yang lain.

Antara individu-individu terkemuka dunia yang dilaporkan pernah mendapatkan rekaan yang dikeluarkan oleh House of Bijan adalah bekas Prseiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dan George Bush; Presiden Rusia, Vladimir Putin; Bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair; Tom Cruise, Anthony Hopkins dan Michael Jordan serta beberapa nama dikenali yang lain lagi.

Nicholas Bijan Pakzad

Kalau dah eksklusif, dah tentulah mahal kan. Antara koleksi-koleksi yang dijual dibawah jenama Bijan adalah jaket yang dikatakan bernilai US$ 10 ribu. Malah, untuk tali leher sahaja anda perlu membayar sebanyak US$ 1 ribu. Selain itu, baju tidur diperbuat daripada sutera dijual pada harga US$ 2,500, coat yang bernilai US$ 24,000, vest bernilai US$ 19,000, luggage daripada kulit buaya berharga US$ 55,000 dan cadar yang diperbuat daripada sutera bernilai US$ 120,000.

Apa yang membuatkan harga item-item ini terlampau mahal adalah pengeluarannya yang sangat terhad dan polisi Bijan yang menyasarkan golongan 1 peratus dunia, yakni mereka yang dikategorikan sebagai golongan elit. Bukan koleksi yang dijual kepada rakyat marhaen, macam kami dan anda.

Pada tahun 2014, tiga tahun selepas bapanya meninggal dunia. Nicholas terus memacu butik Bijan untuk menjadi yang terkemuka di dunia. Nicholas mula meneroka pasaran lebih besar dengan menawarkan koleksi beg tangan tempahan khas yang dimana mereka yang bergelar wanita pula disasarkan. Selain beg tangan, Bijan turut mengeluarkan pelbagai barangan kemas yang amat cantik dengan tanda harga mustahil dimiliki.

Maka lahirlah pelbagai jenis model beg tangan pelbagai corak dan warna. Diperbuat daripada kulit buaya berkualiti tinggi, tipulah kalau anda sebagai wanita dan berkemampuan, tidak mahu bergaya dengan koleksi yang diterbitkan khas oleh Bijan. Ia lebih kepada status, jika anda isteri kepada ahli perniagaan terkemuka ataupun punya suami bergelar pemimpin negara, anda mungkin perlu memiliki sebuah beg tangan Bijan.

Tidak cukup dengan itu, jika anda terlampau kaya dan tidak tahu dimana mahu melaburkan wang tersebut, anda mungkin boleh memiliki salah satu sebuah kereta edisi terhad kolaborasi antara House of Bijan dengan dua jenama mega dunia, Buggati dan Roll Royce.

Anda berkenan tak?

Sumber : LA Times, CNA, The Washington Post, Bijan

 

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.