Siakap Keli

“Habis Belajar Terus Tanggung Hutang”, Ini Perlu Dilakukan Dari Awal Demi Masa Depan Anak

Kos pengajian dijangka terus meningkat dari tahun ke tahun berikutan beberapa faktor seperti inflasi dan usaha pihak universiti sendiri untuk menambah baik kursus yang ditawarkan.

Dengan unjuran inflasi tahunan sekitar 4 peratus, kursus yang mengenakan kos RM30,000 tahun ini, mungkin meningkat kepada RM44,000 dalam masa 10 tahun akan datang.

Berdasarkan kepada peluang kemasukan ke IPTA yang semakin terhad, ibu bapa hari ini sepatutnya perlu lebih bersedia dengan sumber kewangan untuk membiayai pendidikan pengajian tinggi anak-anak mereka.

Dengan adanya sumber kewangan seperti tabung pendidikan, ibu bapa dapat membantu mengurangkan beban anak-anak apabila mereka melanjutkan pengajian kelak.

Sebagai ibu bapa pastinya kita tidak mahu anak-anak memulakan kehidupan dengan beban hutang sedangkan mereka belum lagi mempunyai sumber pendapatan.

Ia sama seperti kita membeli rumah, tetapi sumber kewangan untuk membiayai rumah berkenaan pun kita belum pasti, namun apabila masanya tiba, ia perlu dilunaskan juga.

Tahukah anda kos meminjam sebenarnya lebih mahal daripada melabur?

Katakan anak anda memerlukan RM40,000 untuk kos undang-undang yang bakal diambilnya di sebuah IPTS.

Beban pinjaman pendidikan

Tahukah anda, dengan pinjaman RM40,000 yang mengenakan faedah 1% setahun, anak anda perlu membayar kira-kira RM350 setiap bulan sekiranya dia ingin melangsaikan hutang berkenaan dalam tempoh 10 tahun apabila bekerja kelak.

Ini bermakna jika anak anda mula membayar pinjaman pada usia 23 tahun, dia akan berusia 33 tahun apabila selesai membayar pinjaman berkenaan.

Katakan anak anda menerima gaji RM3,000 sebulan, dia perlu mengenepikan 11 peratus daripada gajinya untuk membayar hutang pendidikan sahaja.

Ini pastinya memberi kesan kepada usaha anak anda untuk membeli aset dan melabur untuk masa depannya.

Jadi sebaiknya ibu bapa memilih melabur untuk membina tabung pendidikan anak-anak mereka..

Melabur Lebih Baik

Bagaimana pula senarionya jika anda, sebagai ibu bapa memilih untuk melabur, katakan dalam ASB sejak dia lahir untuk membina tabung pendidikan anak-anak anda.

Salah satu kelebihan ASB ialah anda boleh melabur walau tidak bergaji besar kerana anda boleh melabur serendah RM10 sahaja.

Jangan memandang rendah kuasa RM10, RM20 atau RM30 yang di laburkan tanpa jemu setiap bulan kerana wang berkenaan berpotensi untuk berganda selagi ia dilabur dan tidak dikeluarkan sehingga tempoh yang ditetapkan.

Katakan anda melabur RM20 setiap bulan selama 18 tahun, dengan andaian pulangan purata tahunan ialah 7 peratus sepanjang tempoh itu, jumlah terkumpul ialah kira-kira RM8,000.

Bukankah jumlah itu cukup untuk membayar yuran pendaftaran, pakaian baharu, kos pengangkutan, keperluan peribadi dan pelbagai kos lain yang berkaitan yang diperlukan anak anda untuk memulakan kehidupan baharu sebagai pelajar?

Jika tidak membiayai semua kos pengajian, mempunyai sumber kewangan untuk membantu anak-anak belajar dengan selesa juga sudah cukup baik.

Bagaimana pula jika jumlah pelaburan yang anda lakukan ialah RM100 setiap bulan? Jumlah terkumpul ialah kira-kira kira-kira RM43,000 yang pastinya cukup untuk membiayai yuran pengajian anak anda di IPTA dalam kursus seperti akaun dan kejuruteraan.

Anda hanya perlu melabur RM100 setiap bulan selama 18 tahun sedangkan anak anda perlu membayar RM350 sebulan selama 10 tahun untuk melunaskan hutangnya.

Kelebihan melabur 

Melabur memberi lebih fleksibiliti kepada pelabur kerana kita tidak terikat dengan sebarang ketetapan berbanding meminjam yang mana jumlah ansuran bulanan dan tempoh pembiayaan telah ditetapkan oleh penyedia pinjaman.

Jadi ibu bapa boleh melabur setakat mampu untuk membina tabung pendidikan anak-anak mereka.

Ini bermakna anda boleh melabur RM20 atau RM50 atau RM200 setiap bulan, bergantung kepada kemampuan anda. Cuma perlu diingat, lebih banyak jumlah yang dilaburkan, lebih besarlah tabungan anda.

Destinasi pelaburan

Oleh kerana anda mempunyai tempoh yang agak panjang untuk membina tabung pendidikan, anda perlu mencari destinasi pelaburan berisiko rendah tetapi mampu memberi pulangan kompetitif seperti ASB.

Apabila anda melabur dalam ASB, anda tidak perlu bimbang kehilangan modal kerana ia berharga tetap, malah anda juga tidak dikenakan cukai untuk dividen yang diterima.

Dengan rekod pulangan kompetitif sekitar 8 peratus ketika ini, melabur dalam ASB pastinya akan membantu anda membina tabung pendidikan yang besar untuk anak-anak anda.

Oleh kerana anda boleh mula melabur seawal usia kelahiran simanja, anda mempunyai tempoh yang panjang untuk melabur, yang memberikan anda lebih fleksibili dalam jumlah yang ingin dilaburkan

Cara melabur untuk membina tabungan kukuh

i. Melabur setiap bulan secara konsisten. Modal pelaburan dan dividen yang diterima pula jangan dikeluarkan sehinggalah matlamat anda tercapai. Contohnya hanya keluarkan wang yang dilaburkan apabila sudah tiba masanya untuk anak anda melanjutkan pengajian.

ii. Jumlah pelaburan setiap bulan perlu mengikut kemampuan supaya anda tidak mengeluarkan semula wang yang telah dilaburkan itu pada akhir bulan. Katakan anda mampu RM50, tetapkan untuk melabur RM50 sahaja. Tambah jumlah itu setiap tahun seiring dengan peningkatan pendapatan. Jika wang sering keluar masuk, ia tidak akan menjana pulangan yang diharapkan.

iii. Jika telah sampai masanya untuk menggunakan wang pelaburan berkenaan, keluarkan hanya jumlah yang diperlukan sahaja dan teruskan melabur untuk memastikan wang pelaburan anda terus berkembang.

iv. Berdisiplin dan meletakkan komitmen tinggi untuk melabur dan mengamalkan sikap ‘labur dahulu baru belanja’ untuk memastikan anda melabur setiap bulan. Labur dulu baru belanja bermakna anda melabur sebaik menerima gaji, sebelum membayar hutang dan membeli barangan keperluan.

v. Gunakan kemudahan pelaburan yang disediakan. Sebagai contoh, ASNB menyediakan portal myASNB untuk pelaburan secara dalam talian. Jumlah pelaburan minimum ialah RM100 dan transaksi adalah percuma.

Ambil peluang untuk melaburkan duit raya anak anda dalam ASB sempena kempen Labur Ria Raya yang sedang berlangsung ketika ini sehingga 31 Ogos 2018. Ada peluang untuk menang duit raya bernilai RM150,000 yang dikongsikan ASNB. Maklumat lanjut di FB Amanah Saham Nasional Berhad.

Daus Ishak

Jangan terpaku terlalu lama dengan kejayaanmu