Siakap Keli

Notis Merah Untuk Interpol Kesan Musa Aman

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan notis merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Tan Sri Musa Aman, yang dipercayai berada di United Kingdom.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut proses undang-undang sedia ada ke atas bekas Ketua Menteri Sabah itu yang dikehendaki ekoran laporan polis atas dakwaan membuat ugutan jenayah terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Pada 26 Jun lepas, Musa mengesahkan beliau berada di United Kingdom atas urusan perubatan dan peribadi serta telah meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei lalu.

Mohamad Fuzi ditemui selepas majlis penganugerahan kontinjen dan daerah terbaik Op Selamat 2018 di Bukit Aman di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PDRM masih belum memanggil bekas pembantu (ADC) bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak DSP Musa Safri susulan permintaan bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev untuk membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan anaknya, model Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Pada  20 Jun lepas, Dr Shaariibuu ditemani peguam keluarganya, Ramkarpal Singh membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung pembunuhan anaknya pada Oktober 2006 dan turut menyebut Musa merupakan saksi penting kes pembunuhan itu dalam laporannya.

Baru-baru ini, Shaariibuu berada di Malaysia dan bertemu Peguam Negara Tommy Thomas serta  mengunjungi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.