Siakap Keli

KKM Umum Tarik 6 Lagi Produk Sardin Dalam Tin Susulan Penemuan Cacing

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui satu kenyataan akhbar mengesahkan pihaknya telah menarik balik enam lagi produk makanan sardin dalam tin daripada pasaran Malaysia, susulan penemuan dan pengesahan kandungan asing cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keenam-enam jenama produk tersebut adalah Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy. Sebelum ini, KKM turut menarik balik penjualan dua produk ikan sardin import iaitu TL Tan Lung dan TLC.

3 daripadanya merupakan produk ikan sardin dalam tin keluaran tempatan iaitu King Cup, Bintang dan TC Boy manakala ikan sardin jenama Cinta dan HS Brand diimport dari China serta Sea Fresh dari Thailand.

Sehubungan itu katanya, KKM akan mengenakan tindakan tahan, uji dan lepas terhadap semua produk ikan sardin dalam tin import di semua pintu masuk negara.

“Tahan, Uji dan Lepas merupakan tindakan di mana sampel akan diambil untuk analisis dan produk tersebut hanya akan dilepaskan sekiranya keputusan analisis menunjukkan tiada pelanggaran dikesan iaitu dalam hal ini cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp. 

“Sementara bagi produk ikan dalam tin keluaran tempatan, verifikasi di semua kilang pengeluaran dijalankan oleh KKM,” katanya melalui kenyataan itu.

Bagaimanapun katanya, produk ikan sardin dalam tin yang mengandungi cacing memberi risiko yang rendah kepada kesihatan memandangkan cacing tersebut telah mati ketika proses memasak atau pengetinan.

Sehingga kini, KKM telah pun mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengarahkan syarikat yang terlibat dalam kes ini untuk menarik balik produk keluaran syarikat masing-masing daripada pasaran dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak terlibat dalam mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.

Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai kemusykilan berhubung isu-isu berkaitan dengan keselamatan makanan boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan untuk sebarang soalan atau membuat aduan.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia, BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.