Siakap Keli

Cinta Ditolak 80,000 Kali, Lelaki Ini Tidak Berputus Asa Mencari Calon Isteri

Seorang lelaki baru-baru ini menjadi tajuk berita kerana berjuang selama bertahun-tahun untuk mencari calon isteri yang sesuai. Jadi anda yang  ‘forever alone’ itu janganlah rasa teruk sangat okay? Baca cerita di bawah ini!

Lelaki ini mendakwa telah mengajak kira-kira 80,000 wanita untuk keluar dengannya dalam tempoh lapan tahun lalu, tetapi ditolak tidak kurang dari 80,000 kali. Boleh anda bayangkan?

Niu Xiangfeng, 31, telah digambarkan sebagai ‘lelaki gila dating’ kerana pendekatan agresifnya untuk mencari pasangan hidup.

Dia pertama kali menjadi tajuk berita pada 2013, apabila gambar dia berjalan di berjalan-jalan sekitar Beijing sambil memegang papan iklan menyatakan hasratnya untuk mencari seorang isteri menjadi tular.

Difahamkan, bapanya meninggal dunia akibat kanser beberapa tahun lalu dan sejak itu dia merasakan perlu berkahwin dan memulakan kehidupan berkeluarga.

Bagaimanapun, ia tidak seperti yang diharapkan dan sehingga 5 tahun dia masih lagi mencari calon isteri.

Sejak kebelakangan ini, Xiangfeng tidak berjalan dengan papan tanda lagi, tetapi itu tidak bermakna usahanya dihentikan.

Dia mencuba nasib dengan masuk ke laman web temu janji, berbual-bual dengan wanita di media sosial, malah di tengah jalan dia bertanya kepada mereka sama ada sudah mempunyai teman lelaki atau tidak.

Namun, dirinya masih tetap ditolak. Ada yang menyatakan ia kerana dia terlalu gigih mencuba dan caranya nampak agresif atau terdesak, tetapi dia mempunyai penjelasan yang berbeza.

Dia mendakwa, wanita zaman ini sudah ‘tidak malu’ apabila terang-terangan menunjukkan mereka mahu memilih pasangan romantik. Kebanyakannya mereka lebih sukakan lelaki yang tinggi dan kacak serta pandai bercakap manis.

Ini berbeza dengan dirinya yang pendek dan hodoh selain tidak suka berbohong hanya untuk menarik perhatian wanita.

Katanya lagi, wang juga merupakan masalah besar, kerana wanita bujang zaman sekarang mencari lelaki berduit yang memiliki rumah sendiri di bandar.

“Mereka kata sebagai lelaki, anda perlu mempunyai rumah dan malangnya saya tiada.”

Baru-baru ini, kisahnya dipaparkan dalam ‘Pear Video’, di mana dia mendakwa telah ditolak kira-kira 80,000 kali dalam tempoh 8 tahun yang lalu.

Lupakan seketika tentang bagaimana Xiangfeng melihat dirinya sebagai lelaki yang tidak menarik, fikirkan semula bilangan tolakan itu yang sedikit mencurigakan.

Jadi untuk mengesahkannya, beberapa laman web berita di China telah menemuinya bagi memastikan kebenaran sama ada dia benar-benar ditolak puluhan ribu kali.

Dalam temu bual dengan ‘East Day’, Xianfeng berkata walaupun dia tidak pernah memberitahu ‘Pear Video’ bahawa dia telah ditolak sebanyak 80,000 kali, anggaran mereka sama sekali realistik.

Dia berkata selama bertahun-tahun dia telah menghantar mesej kepada wanita kira-kira 60,000 kali dalam talian, kebanyakannya menolaknya, sementara yang lain tidak menjawab.

Dia mungkin telah mendekati sekurang-kurangnya 20,000 hingga 30,000 wanita di jalanan, jadi ditolak 80,000 kali mungkin benar.

Ditanya sama ada dia hanya mahu mendapat perhatian media, Xianfeng berkata dia tiada kepentingan untuk berbuat demikian.

Orang yang mencari kemasyhuran mahu mempromosikan perniagaan atau mahu menjadi pelakon atau selebriti, katanya.

Perjuangannya sehingga kini gagal menarik perhatian wanita atau pengguna media sosial di China.

Maklum balas secara umumnya negatif, dengan beberapa pengulas mengatakan bahawa lelaki itu bukan sahaja pendek dan hodoh tetapi tidak memahami konsep janji temu.

Ada yang berpendapat ketidakupayaannya untuk mencari pasangan tidak mempunyai kaitan dengan penampilannya, sebaliknya mempunyai kaitan dengan pendekatan agresifnya.

Ada juga yang berkata, cinta tidak boleh dipaksa. Apa pula pendapat anda?

Sumber : Oddity Central

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.