Siakap Keli
ALOR SETAR, 30 Jun -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sesi taklimat di Sri Mentaloon sebelum meninjau Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Sungai Anak Bukit dengan menaiki bot dari Jeti Muzium Negeri Kedah, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (kanan). --fotoBERNAMA(2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dr Wan Azizah sedia undur diri jika Anwar jadi PM

ALOR SETAR, 30 Jun (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau bersedia mengundur diri daripada jawatan nombor dua kerajaan jika suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata perkara itu bukanlah isu besar kerana situasi di mana jawatan timbalan perdana menteri dan perdana menteri disandang oleh suami isteri tidak pernah berlaku di negara ini.

“Itu (situasi di mana jawatan timbalan perdana menteri dan perdana menteri disandang suami isteri) tidaklah…saya kira saya akan undur dirilah, tak payah jadi isu kerana itu adalah memang satu niat saya daripada mula-mula lagi.

“Kenapa suami saya tidak boleh bertanding…kerana suami saya telah dizalimi, sekarang telah diampuni dan sekarang dia boleh ambil bahagian. Namun, kita ikut janji bahawa perdana menteri sekarang adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan saya timbalan perdana menteri,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dipetik portal berita sebagai berkata bahawa beliau akan melepaskan jawatan sejurus Anwar diangkat menjadi perdana menteri namun siapa yang bakal mengisi jawatan timbalan perdana menteri belum diputuskan.

Ketika ditanya apakah proses peralihan kuasa itu akan dipercepatkan, Dr Wan Azizah berkata apa yang paling penting buat masa ini adalah melaksanakan mandat yang diberi rakyat kepada kerajaan baharu.

Kita kena beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata beliau.

Mengulas mengenai projek RTB itu, Dr Wan Azizah berkata ia kini di tahap 70 peratus dan akan mengambil masa 18 bulan untuk siap sepenuhnya.

“Kita telah diberi taklimat dan mendapati sejak 2010, seramai 46,000 mangsa banjir dipindahkan. Banyak masalah lain seperti kerosakan bendang, harta benda malah kehilangan nyawa yang berlaku. Sebab itu, kita ingin percepatkan RTB yang dijangka siap pada 2020.

“Kita juga telah diberitahu projek ini boleh siap dalam tempoh 18 bulan jadi, kerajaan pusat akan beri kerjasama untuk menjayakan projek RTB dan bajet tambahan berjumlah RM62 juta juga diluluskan tahun lepas untuk kegunaan projek tersebut,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata bajet tambahan itu akan digunakan untuk membina jalan lencongan bagi jambatan dari Jalan Alor Setar-Kangar dan jambatan Jalan Alor Setar-Gunung Keriang, yang mampu menyelesaikan masalah banjir itu.

— BERNAMA

Siakap Keli

Berita sejurus ia berlaku? Itulah saya....