Siakap Keli

Digugurkan Daripada Menyertai Sukan Asia Indonesia, Chong Wei Minta Iskandar Ubah Sikap

Datuk Lee Chong Wei menasihati pemain perseorangan kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainudding agar mengubah sikap dan menjadi contoh kepada pemain muda lain.

Nasihat itu diberikan diatas perilaku Iskandar yang merokok sewaktu menyertai kejohanan seperti Piala Thomas, Bangkok, Thailand dan seharusnya sedar kesan kelakukan tersebut.

Ekoran itu, Iskandar digugurkan daripada senarai pemain badminton ke Sukan Asia Indonesia pada Ogos ini kerana kesalahan merokok dan tidak hadir latihan.

“Disiplin adalah paling penting. Perkara yang saya belajar daripada Jurulatih Misbun (Datuk Misbun Sidek) ialah jaga disiplin. Jurulatih memang tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemain yang ada masalah disiplin.

Dalam hal Iskandar, perkara ini bukan sekali beliau ditegur tetapi sudah banyak kali, tetapi dia mengambil mudah teguran itu. Pada pendapat saya, jurulatih dan BAM telah melakukan keputusan yang terbaik untuk Iskandar,

“Semua orang tahu merokok akan menjejaskan kecergasan seseorang atlet. Iskandar bukan budak-budak berusia 14 tahun atau 17 tahun yang perlu dimarahi setiap hari. Beliau seharusnya memikirkan semula apa yang dia mahu dalam karier badminton,” kata Chong Wei ketika diminta mengulas mengenai keputusan BAM menggugurkan nama Iskandar dalam senarai ke Sukan Asia Indonesia.

Misbun berkata beliau mahu menghantar pemain ke Sukan Asia bersih daripada masalah disiplin dan berharap Iskandar berfikiran matang dalam menentu hala tuju sebagai pemain badminton.

“Masalah pemain yang merokok adalah luar bidang kuasa saya sebagai jurulatih. Pengguguran Iskandar itu tidak melibatkan keputusan pilih kasih atau perkauman. Apabila kita sudah meletakkan mandatori kepada arahan, pemain itu perlu patuh.

Kalau saya mahu seseorang pemain, beliau perlu memberikan komitmen dalam latihan, habiskan modul latihan yang diberikan, dengar arahan dan menjadi contoh kepada pemain-pemain yang muda daripadanya,” katanya. – Bernama

Nur Farra