Syarikat minyak dan gas nasional, Petronas menegaskan ia mempunyai pemilikan eksklusif terhadap sumber petroleum di Malaysia dan merupakan pengawal selia tunggal bagi sektor huluan di negara ini.
Petronas dalam satu kenyataan semalam mengatakan pengumuman itu dibuat sebagai responsnya terhadap kenyataan berkaitan industri minyak dan gas yang dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada 1 Julai, 2018.
Dilaporkan bahawa kerajaan negeri itu berhasrat untuk menjalankan kuasanya mengikut undang-undang negeri berkaitan aktiviti minyak dan gas di Sarawak, termasuk Ordinan Pengedaran Gas 2016, yang berkuatkuasa 1 Julai tahun ini.
Pejabat Ketua Menteri Sarawak membuat kenyataan bahawa peraturan di bawah ordinan berkaitan pelesenan telah diluluskan kerajaan negeri dan proses pelaksanaannya akan bermula serta-merta.
Petronas kemudian menambah dalam melaksanakan tanggungjawabnya, mereka akan memantau dengan rapat isu tersebut termasuk mendapatkan pandangan dan bimbingan daripada kerajaan yang merupakan pemegang saham tunggal syarikat itu. -BERNAMA