Siakap Keli

‘Baby Carrot’ Bahaya Untuk Dimakan, Sejauh Mana Kebenarannya?

‘Baby carrot’ adalah lobak merah biasa yang dipasarkan dengan saiz yang lebih kecil sebelum sampai tempoh matang. Mungkin ramai diantara kita yang mengambil ‘baby carrot’ ini sebagai snek ketika diet.  Ini untuk mengelakkan keinginan mengunyah ‘jajan’ atau snek tinggi kalori.

Sebiji ‘baby carrot’ dianggarkan mengandungi 4 kalori antara yang terendah.  Mungkin oleh sebab itulah ia dijadikan sebagai kudap-kudapan sihat.  Namun, baru-baru ini tular apabila makanan ini dianggap merbahaya kerana proses pembuatannya yang dikatakan ‘tidak baik’.

Sejauh manakah kebenaran itu?

Semalam tular satu post berkenaan dengan satu makanan yang kita selalu nampak di pasaraya iaitu baby carrot. Ia dipanggil sebagai ‘Baby carrot’ disebabkan saiznya yang kecil walaupun ia sebenarnya berasal dari lobak biasa.

Post tersebut seperti di bawah:

Baby carrot menjadi salah satu makanan yang dihidangkan oleh ibubapa kepada anak-anak mereka kerana saiznya yang kecil memudahkan kanak-kanak makan lobak tersebut.

Terdapat dua jenis ‘baby carrot’ iaitu:

  1. Daripada lobak yang diambil sebelum ia menjadi besar dan matang. Maksudnya, lobak itu dipetik semasa saiznya masih kecil lagi
  2. Daripada pemprosesan lobak yang sudah besar

Tular satu post berkenaan baby carrot ini kerana:

  1. Ia dihasilkan daripada lobak yang di tidak boleh dijual pada bentuk asalnya. Kerana bentuk asalnya pelik menyebabkan ramai orang tidak membelinya.
  2. Lobak tersebut dicuci dengan air yang bercampur dengan klorin.

Kedua-dua perkara ini adalah benar. Tapi kita kena ulas satu persatu agar kita faham dan kita sedar adakah ia berbahaya ataupun tidak memakan lobak ini.

Sejarah ‘Baby Carrot’

Pada tahun 1986, kebanyakan lobak yang mempunyai bentuk yang pelik terpaksa dibuang ataupun diberi makan pada haiwan. Ini menyebabkan hanya 30 peratus sahaja daripada hasil tuaian dapat dijual.

Seorang petani bernama Mike Yurosek mencuba kaedah baru dimana lobak-lobak tersebut diambil dan dipotong menjadi lobak kecil. Ini menyebabkan ia lebih mudah di makan seperti makanan ringan.

Apabila lobak mini nya itu popular, dia membeli mesin untuk memotong lobak ini menjadi sepanjang 2 inci sama seperti yang kita lihat pada hari ini.

Jadi, benarlah ia berasal dari lobak yang tidak cantik bentuknya. Tetapi perlu diketahui kandungan di dalamnya sama sahaja seperti lobak biasa.

Baby carrot direndam dalam air klorin

Ada yang risau kerana lobak ini direndam dalam air klorin. Ianya sesuatu yang benar iaitu memang kebanyakan buah-buah dan juga sayur-sayuran direndam dalam air klorin untuk membunuh bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan seperti E. Coli dan juga Salmonella. Bukan lobak ini sahaja yang direndam dalam air yang mempunyai tahap klorin yang rendah.

Kemudian lobak ini akan dibilas menggunakan air paip.

Pentingnya untuk kita tahu bahawa kepekatan klorin yang digunakan adalah lebih rendah berbanding dengan tahap klorin selamat yang telah ditetapkan oleh FDA.

Kesimpulannya

Baby carrot berasal dari lobak yang tidak sempurna bentuknya tetapi mempunyai kandungan seperti lobak biasa. Ia dijadikan kepada rupa bentuk sedemikian untuk lebih mudah orang memakannya dan tidak membazir lobak yang tidak cantik bentuknya tadi.

Penggunaan klorin pula adalah pada kadar yang sangat rendah dan dijamin oleh FDA keselematannya. Dalam air paip anda itu pun terdapat klorin. Ia berfungsi untuk membunuh bakteria supaya anda tidak terkena masalah keracunan makanan.

Sumber: Root of Science

Nur Farra