Siakap Keli
Gambar Hiasan

Ikutkan Hati, Ayah Tak Nak ‘Pergi’ Awal Sebab Dapat Anak-Anak Yang Baik – Pilunya Kisah Ini

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Begitulah pepatah yang menggambarkan kasih dan pengorbanan ibu ayah yang tiada galang gantinya.

Sebagai anak, pernahkah kita membayangkan bagaimana rasanya seorang ibu menahan sakit di saat melahirkan dan seorang ayah membanting tulang bekerja siang malam untuk mencari rezeki kepada keluarga?

Coretan oleh Tuan Khairul Hakimin Muhammad ini diharap dapat menjentik hati setiap dari kita. Duduk sebentar, kenangkan jasa ibu ayah selama ini dan betapa banyaknya khilaf kita sebagai seorang anak. Di usia senja, apa lagi yang boleh diharapkan selain anak-anak yang baik?

Untuk yang masih punya ibu ayah, masih belum terlambat lagi untuk menggapai redha mereka seperti kisah yang kami kongsikan ini. Semoga bermanfaat buat semua.

Gambar Hiasan

Itu hari sempat saya singgah bertemu kawan yang baharu sahaja kehilangan bapa mentuanya semasa raya ketiga.

Dapatlah kami bersembang sekejap dan berbual sedikit. Iya, apabila ada kematian dalam keluarga, ianya memang berkisar tentang kesedihan dan tiada keindahan yang dapat menyambung erti syawal.

Kawan saya ini tinggal dengan mentuanya. Dan setiap kali kami berjumpa memang beliau selalu bercerita tentang kebaikan keluarga mereka. Kali ini saya sedikit syahdu, dan makan berhari-hari duduk berfikir tentang hal ini.

Kata beliau, bapa mentuanya ini memang sudah ada sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Kerap keluar masuk hospital.

Beliau ada 3 orang anak, semuanya perempuan. Dan semua sudah berumah tangga. Setiap kali beliau masuk wad atas banyaknya sakit, anak-anak ini akan melawat.

Momen ziarah ayahnya ini akan beliau ingati selamanya. Kerana setiap kali waktu itu datang, si ayah akan minta anak-anak perempuannya itu meletakkan telinga di dada beliau.

Suruh dengar degupan jantung, kemudian suruh pula letakkan jari telunjuk di hidungnya, supaya mereka tahu yang ayah mereka masih hidup.

Si ayah, tak suka menyusahkan anak-anak. Setiap kali warded, isterinya yang akan jaga. Dan sunyilah rumah mereka. Isteri beliau akan masak, bercuti dan bantu mana yang perlu.

Apabila si ayah dah keluar dari hospital, mereka ini suka melepak di luar rumah. Ayah ini akan memegang tangan anak-anak perempuannya. Kemudian diangkat dan letakkan tangan itu di dada beliau dan kata,

Gambar Hiasan

“Ikut hati ayah, ayah tak mahu pergi awal, sebab ayah dapat anak-anak yang baik-baik.

Pagi-pagi dah bangun subuh, kejutkan suami, kemudian siapkan sarapan, pergi kerja, balik terus masuk dapur dan buat macam-macam kerja.

Isteri yang baik biasanya diasuh dari ibu bapa yang baik-baik.”

Kawan saya ini duk melelehlah air mata semasa bercerita. Nampak sugul dan masih kuat bersedih walau sudah makan minggu peristiwa itu berlaku.

Di minggu beliau dimasukkan dalam wad, waktu itu masih sedar dan boleh bercakap, si ayah ini cakap kepada isterinya,

“Seha, kahwinlah lain. Cukuplah beban kamu menjaga abang.”

Kemudian beliau memanggil anak-anak perempuannya dan cakap,

“Ayah yakin, anak-anak kamu akan balas kebaikan kamu kepada ayah dengan apa sahaja kebaikan yang kamu beri kepada ayah.

Maafkan ayah kerana tak sempat nak berlari dengan anak-anak kamu.

Untuk kali akhir, mari letak telinga kamu di dada ayah. Ayah tak mahu pergi lagi, tapi ayah dah tak larat.”

Lalu semua anak-anaknya memeluknya erat. Menangis semahu-mahunya.

Gambar Hiasan

Selang beberapa hari mula tak sedarkan diri. Namun anak-anak tak putus asa, setiap kali datang, mereka akan letakkan telinga mereka, melekap dengan kepala, pipi dan dahi tepi di dada ayah mereka sambil cakap,

“Ayah bangunlah ayah. Mira rindu ayah.”

Dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada ahad, 3 syawal. Saya mengesat air mata.

Kawan saya duk pesan, dalam banyak-banyak hal, beliau belajar bab berkasih sayang dengan keluarga. Dalam keluarga beliau sendiri, beliau tak ada nak peluk cium emak ayah sendiri. Kerana beliau lelaki agaknya.

Namun, beliau kata kepada saya,

“Semasa ada emak ayah, tunaikan sahaja segala permintaan, buat sahaja apa yang mereka minta, segala kebaikan, segala apa yang kita buat benda baik untuk emak ayah ini, akan kita dapat balik bila kita tua nanti.

Masa ada merekalah waktu terbaik untuk buat semua itu. Dah tak ada nanti, tak ada apa dah nak buat, tinggal doa yang boleh mudahkan urusan emak ayah kita, namun untuk kita, yang tinggal hanyalah kesalan yang tidak ada hujungnya.”

Saya angguk. Hari ini, bangun pagi, tengok emak dah balik. Malam tadi emak ada singgah rumah kami sekejap.

Dan sudah berumur 37 tahun ini, rasa kecilnya hubungan kita dengan emak abah berbanding mereka ini.

Allah, maafkan kami. Semoga belum terlambat untuk kita semua berbakti buat mereka. Begitulah.

Khairul Hakimin Muhammad,
Dengarkan degupku.

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.