Siakap Keli

Kes Nikah Budak 11 Tahun, TPM Bersuara

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail akhirnya bersuara mengenai isu perkahwinan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang tular di Facebook sebagai tidak sah dari segi undang-undang.

Menurut Wan Azizah, perkahwinan antara lelaki berusia 41 tahun dan kanak-kanak berkenaan adalah tidak sah kerana tidak mendapat kelulusan daripada pihak mahkamah untuk bapa kepada kanak-kanak itu mewalikan anaknya menjadi isteri kepada lelaki yang lebih tua. Perkahwinan tersebut juga dikatakan tidak sah disebabkan oleh pihak perempuan masih di bawah umur.

“Perkahwinan itu tidak sah dan mereka mesti dipisahkan,” ujar Azizah dalam satu sidang media selepas perasmian Majlis Jamuan Tertutup Eksklusif Sambutan Aidilfitri bersama 2,000 anak yatim asnaf.

Menurut Enakmen Keluarga Islam yang dikuat kuasakan di seluruh Malaysia, usia minimum pasangan yang ingin berkahwin adalah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Sekiranya pasangan yang ingin berkahwin masih di bawah umur yang layak, perkahwinan mereka hanya sah dengan adanya kebenaran daripada mahkamah dan persetujuan ibu bapa kedua-dua pihak.

Terdahulu, kisah mengenai perkahwinan ini mula tersebar di Facebook sejak Jumaat lalu dan telah mendapat pelbagai reaksi negatif daripada netizen. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menjalankan siasatan terperinci dan mendapati perkahwinan telah dilangsungkan di Golok, Thailand. Malah, ibu bapa kepada kanak-kanak itu juga merupakan warganegara Thailand.

Ketika ditanya sama ada lelaki berkenaan berjaya dijejaki, Wan Azizah yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan bahawa usaha untuk mengesan lelaki itu gagal. Suspek dipercayai telah melarikan diri dan sehingga kini masih tidak berjaya dihubungi.

Tambah Wan Azizah lagi, kerajaan mungkin akan menggubal Akta Kanak-Kanak 2016 dan Enakmen Keluarga Islam dengan menaikkan had umur perkahwinan melibatkan kanak-kanak perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Sementara itu, lelaki yang dikenali sebagai Che Abdul Karim Che Abdul Hamid itu nekad untuk mempertahankan pernikahannya dan tidak akan melepaskan isteri ketiganya walaupun menerima pelbagai kecaman.

Jelas Abdul Karim, perkahwinan bersama kanak-kanak yang dikenali sebagai Ayu itu bukan kes kahwin lari memandangkan ibu bapa budak perempuan itu telah memberikan persetujuan dan mereka turut hadir bersama ketika majlis perkahwinan yang diadakan pada 18 Jun di Sungai Golok, selatan Thailand.

Beliau juga berkata amat kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan ke atas beliau di media sosial dan sedang meneliti untuk  mengambil tindakan undang-undang bagi menutup malu atas tuduhan itu.

Abdul Karim turut berjanji akan berusaha mendapatkan sijil nikah dalam tempoh lima tahun lagi apabila Ayu mencapai usia 16 tahun supaya mereka boleh hidup bersama.

Sumber: Bernama dan EraBaru

Amy Noreffaziera

Jatuh bangun sendiri.. Tiada apa yang mustahil selagi kita berusaha..
_Jinsei o tsuyoku shite tatakau (Keep strong and fighting for life)_ =D ..#Ridergirl #Amiey