Siakap Keli

(Video) Pengasuh Ditahan Dipercayai Simpan Mayat Bayi Dalam Peti Sejuk

Seorang bayi lelaki berusia lima bulan, yang dilaporkan hilang selepas dikatakan dilarikan individu tidak dikenali, ditemui mati di dalam rumah pengasuhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves, lewat malam tadi.

Mangsa, Adam Rayqal Mohd Sufi ditemui dalam bahagian sejuk beku peti ais di rumah itu kira-kira pukul 11 malam.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad berkata ketika ditemui mangsa berada dalam sebuah beg berwarna hijau dengan berpakaian lengkap serta dibalut kain napkin.

“Penemuan mangsa berdasarkan maklumat yang diterima daripada pengasuh itu selepas proses rakaman percakapan yang dilakukan terhadap suspek dicurigai.

“Bagaimanapun, pemeriksaan awal anggota badan mangsa tidak menemui sebarang kecederan dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini

Ali berkata pihaknya menahan pengasuh berusia 33 tahun itu bersama rakan serumahnya yang berusia 36 tahun dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam, dilaporkan Adam Rayqal telah dilarikan individu tidak dikenali dari rumah pengasuhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves dekat sini.

Perkara itu disedari apabila ibunya, Farah Madiha Othman, 28, ingin menjemputnya pulang kira-kira 7 malam tadi.

Menurut pengasuh itu, Adam Rayqal yang baharu seminggu dihantar ke rumah pengasuh itu telah diambil oleh bapa mangsa.

Kehilangan Adam Rayqal tular dalam laman sosial Facebook apabila bapanya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, memuat naik gambar mangsa dengan meminta orang awam membantu mengesan anaknya itu.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)