Siakap Keli

(Video) Tentera Thailand Kongsi Keadaan 13 Mangsa Terperangkap Dalam Gua

Ketika ini kami pasti anda sudah sedia maklum dengan tragedi yang melanda negara jiran kita, Thailand yang ketika ini sedang bersedih dengan insiden menimpa 12 orang pemain bola sepak remaja sebuah kelab bersama-sama dengan seorang seorang jurulatih.

Kesemua mangsa yang sudah terperangkap lebih daripada 9 hari ketika ini masih gagal dikeluarkan daripada Gua Tham Luang yang dipenuhi air walaupun kedudukan mereka sudah berjaya dikenal pasti oleh dua orang pakar selaman gua yang diterbangkan khas daripada UK.

Ketika ini, pasukan penyelamat dengan bantuan pasukan khas SEAL Tentera Laut Diraja Thailand telah mendirikan satu khemah  di lokasi kanak-kanak itu terperangkap bagi menempatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan bertujuan untuk memulihkan kembali tenaga mangsa-mangsa.

Anggota SEAL Thailand
Anggota SEAL Thailand

Selain itu, kelengkapan tersebut turut dibawa setelah wujud kebimbangan kesemua mangsa mungkin terpaksa menunggu hingga  Oktober untuk diselamatkan memandangkan kerja-kerja mengepam keluar air daripada gua tersebut terencat akibat hujan lebat dan ribut ketika  musim monsun yang sedang melanda Thailand ketika ini.

Melalui kemas kini di laman facebook Royal Thai Navy, pasukan keselamatan itu berkongsi kemas kini dari masa ke masa kerja-kerja menyelamat yang dijalankan di lokasi kejadian.

Semalam, pasukan khas tersebut turut berkongsi satu rakaman video mengenai keadaan-keadaan semua mangsa yang kelihatan masih bersemangat dan positif walaupun fizikal sedikit berubah seperti berat badan yang semakin susut.

Pasukan penyelamat itu dilihat mengedarkan beberapa selimut yang diperbuat daripada kain timah dipercayai bertujuan untuk memanaskan badan-badan mangsa yang sudah sekian lama terperangkap dalam gua itu.

Malah, pasukan penyelamat juga dilihat menyapu sesuatu pada tubuh dan kaki sebahagian mangsa dipercayai ubat luka untuk mengelakkan berlaku jangkitan kuman ketika terperangkap di kawasan tertutup dengan keadaan kebersihan yang tidak berapa baik.

Melalui laman facebook yang sama, pasukan keselamatan itu turut berkongsi beberapa keping gambar suasana sebenar yang begitu memberi cabaran kepada pasukan penyelamat untuk menjalankan pelan operasi seperti yang dirancangkan.

Dapat dilihat pasukan penyelamat terpaksa menggunakan pelbagai alatan selaman bagi memastikan kerja-kerja menyelamat dapat dijalankan dengan lancar.

Beberapa keping gambar yang dimuat naik di laman facebook tersebut menunjukkan pasukan penyelamat sedang memunggah masuk tangki oksigen untuk kegunaan anggota penyelamat yang melakukan selaman di dalam gua tersebut.

Ketika ini, pasukan penyelamat sedang berlumba dengan masa apabila hujan lebat diramal terus melanda kawasan operasi serta jangkaan berlakunya ribut. Jika keadaan tidak mengizinkan, kerja-kerja menyelamat mungkin terpaksa dihentikan.

Sehingga kini, pasukan penyelamat dengan bantuan mesin pengepam air janya berupaya untuk mengeluarkan kira-kira 10 ribu liter sejam dengan paras air dalam gua berkurang sebanyak 1 sentimeter sahaja.

Menurut Komander SEAL Tentera Laut Diraja Thailand, Rear Adm Arpakorn Yookongkaew mengesahkan mereka kini sedang menimbangkan beberapa perkara antaranya untuk memindahkan kesemua mangsa daripada kawasan semasa ke kawasan yang lebih selamat. Untuk itu katanya, pasukan khas di bawah pimpinannya sedang menjalankan latihan bagi memastikan operasi yang dirancang benar-benar berjaya.

Keluarga Mangsa
Keluarga Mangsa

Ujarnya lagi, terdapat mangsa-mangsa yang tidak tahu berenang dan menyelam, justeru kaedah yang dirancang sebelum ini iaitu memberikan mereka alatan selaman dan membimbing mereka dengan cara melakukan selaman untuk keluar adalah berbahaya. Pasukan penyelamat khuatir ada mangsa yang panik hingga kehilangan alatan selaman sekaligus boleh menyebabkan mereka mati lemas dan membahayakan mangsa yang lain serta pasukan penyelamat.

Sumber : Royal Thai Navy

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.