Siakap Keli

Tumpah Darah Boleh Membawa Maut, Nyawa Ibu Jadi Taruhan – Dr. Muhammad Izzat

Para wanita yang bakal bergelar ibu, perkongsian ini untuk anda.

Tahukah anda tumpah darah merupakan salah satu sebab utama kematian ibu di Malaysia?

Kajian daripada WHO menganggarkan hampir 530,000 ibu meninggal dunia akibat tumpah darah setiap tahun di seluruh dunia.

Bagi yang pulih secara normal, biasanya pendarahan faraj selepas bersalin mengambil masa 2 minggu sehingga 1 bulan.  Umumnya pendarahan faraj ini terbahagi kepada 3 iaitu:

i) Lokia Vera (Merah) – keluar dalam tempoh 1 hingga 7 hari.

ii) Lokia Rubra (Kuning) – bermula dari hari ketujuh hingga ke 14.

iii) Lokia Albicam (Putih) – keluar selepas tempoh 14 hari.

Pun begitu, ada kes yang melibatkan pendarahan ini berlaku lebih lama daripada tempoh biasanya dan inilah yang dipanggil tumpah darah.  Ia adalah keadaan paling merbahaya apabila uri terlekat dalam rahim dan kegagalan rahim untuk menguncup semula selepas bersalin.

Mari kita baca penjelasan daripada Doktor Muhammad Izzat mengenai isu tumpah darah ini. Semoga bermanfaat.

Tumpah Darah – Nyawa Ibu jadi Taruhan 

Kes 1: Ibu 42 tahun, bersalin secara normal anak yang ke 8, hamil cukup bulan. Ibu tidak mempunyai masalah semasa mengandung dan semasa proses kelahiran bayi, walau bagaimanapun uri mengambil masa agak lama untuk dikeluarkan. Ibu dibenarkan pulang ke rumah selepas 2 hari bersalin. Ibu mengalami darah nifas seperti biasa sehingga hari ke 6 selepas bersalin, ibu secara tiba-tiba mengalami tumpahan darah nifas yang berlebihan sehingga ibu pengsan dan tidak sedarkan diri. Ibu tersebut terus dikejarkan ke hospital.

Kes 2: Seorang gadis 18 tahun, hamil anak luar nikah dan merahsiakan kehamilannya. Ibu muda ini tidak mempunyai pemeriksaan antenatal yang rapi kerana bimbang kehamilanya diketahui umum. Ibu muda ini secara tiba-tiba mengalami sakit bersalin di rumah sewanya dan telah melahirkan bayi secara sendirian. Beliau kemudian memotong tali pusat bayi menggunakan gunting dan merentap sendiri uri di mana sebahagian besar uri masih tertinggal di dalam rahim. Disebabkan kebimbangan yang amat, beliau telah memberitahu teman lelakinya yang kemudiannya datang untuk membantunya. Pasangan muda ini masih takut untuk ke hospital sehingga 3 hari kemudiannya ibu muda ini mengalami tumpah darah nifas yang serius sehingga tidak sedarkan diri.

Bagaimana pendarahan yang saya jangkakan selepas bersalin?

Adalah menjadi kebiasaan untuk mengalami pendarahan selepas bersalin. Darah itu mungkin keluar daripada rahim ataupun koyakan perineum yang terjadi semasa proses kelahiran itu sendiri.

Pendarahan selalunya akan menjadi banyak sejurus sahaja selepas bersalin dan akan berkurang secara berperingkat dalam beberapa jam. Pendarahan akan berterusan dan akan berkurangan dalam beberapa hari lagi dan disertai dengan perubahan warna darah tersebut daripada merah terang ke warna coklat. Pendarahan ini dinamakan Lochia dan seharusnya berhenti apabila bayi anda berusia 6 minggu.

Pendarahan berterusan, berlebihan dari biasa adalah TIDAK normal dan dinamakan sebagai tumpah darah selepas bersalin (postpartum haemorrhage)

Apakah yang dimaksudkan dengan tumpah darah selepas bersalin?

Pendarahan yang berlebihan dan luar daripada biasa selepas bersalin. Terdapat 2 jenis tumpah darah selepas bersalin yang dinyatakan seperti berikut :

Tumpah darah primer (Primary Postpartum Haemorrhage) – kehilangan darah selepas bersalin lebih dari 500 ml dalam lingkungan 24 jam selepas bersalin, kadar kebiasaan berlaku pada 5 daripada 100 wanita yang bersalin. Pendarahan yang teruk, melebihi 2 liter adalah jarang berlaku, dalam kekerapan 6 daripada 1000 wanita yang bersalin.

Tumpah darah sekunder (Secondary Postpartum Haemorrhage) – kehilangan darah selepas bersalin dalam lingkungan 24 jam hingga 12 minggu selepas bersalin. Berlaku pada kekerapan kurang daripada 2 daripada 100 wanita yang bersalin.

Mengapakah tumpah darah selepas bersalin ini sangat merbahaya?

Jika anda kehilangan banyak darah selepas bersalin, akan mengakibatan keletihan yang luar biasa kepada anda, ditambah pula dengan keletihan yang sedia ada selepas bersalin.

Apabila pendarahan dibiarkan berterusan tanpa perhatian dan rawatan pihak doktor, akan menyebabkan anda hilang lebih banyak darah sehingga boleh meragut nyawa. Maka ianya perlu dikesan, dan dirawat dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih teruk lagi.

Tumpah darah primer – Siapakah yang berisiko?

– Pernah mengalami tumpah darah kahamilan terdahulu
– Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 35kg/m2
– Pernah melahirkan 4 orang anak atau lebih
– Kehamilan kembar atau triplet
– Uri bawah (placenta praevia)
– Uri lekang (placenta abruptio)
– Tekanan darah tinggi
– Kekurangan sel darah merah (anemia)

Semasa bersalin:

 

– Kelahiran secara pembedahan caeserean
– Proses kelahiran yang dipaksa (induction of labour
– Cebisan uri tertinggal di dalam rahim
– Kelahiran yang dibantu menggunakan Forceps atau Vacuum
– Bayi yang besar, berat melebihi 4 kg
– Melahirkan anak yang pertama apabila umur anda melebihi 40 tahun

Kebiasaannya, tiada apa yang boleh dilakukan kepada senarai risiko-risiko seperti di atas. Walau bagaimanapun langkah berjaga-jaga akan di ambil untuk mengurangkan risiko anda mengalami tumpah darah selepas bersalin ini, sekaligus mengurangkan keperluan untuk transfusi/penggantian darah.

Misalnya, jika anda mempunyai masalah kurang sel darah merah (anemia) ketika hamil, pengambilan zat besi tambahan akan mengurangkan keperluan untuk transfusi darah, jika berlakunya masalah tumpah darah selepas bersalin.

Jika anda sudah menjalani pembedahan caeserean pada kehamilan terdahulu, adalah amat penting untuk memeriksa sama ada uri pada kehamilan sekarang tidak melekat pada parut pembedahan caeserean yang lalu. Jika masalah ini timbul, uri tidak akan tertanggal dengan mudahnya selepas bayi dilahirkan, dan menyebabkan tumpah darah yang sangatlah serius. Jika keadaan ini sudah dapat dipastikan, cadangan rawatan anda akan dirancang sebaik-baiknya melibatkan pelbagai pakar perubatan utk menyelamatkan nyawa

Sumber: Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan, Kesihatan wanita & kehamilan

Nur Farra