Siakap Keli

4 Maut Ketika Lepak Dilanggar Vios Dipandu Wanita Mabuk

Empat lelaki maut dan seorang cedera patah kaki kiri selepas menjadi mangsa rempuh sebuah kereta Vios di Tawau, Sabah awal pagi tadi. Semua manga ketika kejadian dilaporkan sedang melepak di kawasan parkir Pusat Komersial BDC (1Arena) di Jalan Chong Thien Vun.

Menurut laporan BERNAMA, kereta tersebut yang dipandu oleh seorang wanita dikatakan turut merempuh sebuah van Toyota Hiece dan dua buah kenderaan Perodua, dalam kejadian berlaku jam 1.15 pagi tadi.

Kata Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus, siasatan awal pihaknya mendapati bahawa kemalangan maut itu berpunca daripada kecuaian pemandu wanita itu yang dalam keadaan mabuk dan gagal mengawal keadaannya hingga terbabas serta turut tercedera dalam kemalangan itu.

“Kemalangan ini dipercayai berlaku semasa kereta  dipandu wanita itu dalam perjalanan dari Bandar Tawau hendak ke Jalan Tiku, namun apabila sampai di Jalan Chong Thien Vun iaitu selepas bulatan Kubota, Vios tersebut hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan seterusnya melanggar tiga kenderaan lain serta beberapa orang yang sedang melepak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Keempat-empat mangsa dikenali sebagai Hiew Nyuk Wei,30, Clawence Wong Vun Kit, 21, Dicson Lim Kien Shing, 16, dan Chong Wei Chan,21 manakala mangsa patah kaki ialah Chin Guan Xiong,21.

Fadil Marsus turut menambah bahawa mangsa yang maut dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat manakala dua yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.