Siakap Keli
GEORGE TOWN, 8 Julai -- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh (tiga, kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis syabu seberat 306 kilogram dengan nilai keseluruhan bernilai RM15.3 juta yang dirampas dalam empat serbuan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah pada Jumaat lepas ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri hari ini. Polis turut menyita sebuah kenderaan Proton Waja, pelbagai jenis matawang dan seutas jam tangan bernilai RM16,000 serta menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia 19 hingga 37 tahun untuk siasatan lanjut. -- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPLIHARA

Syabu 306 Kilogram Dirampas Di Kedah Dan Pulau Pinang, Enam Suspek Ditahan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan setelah berjaya menahan 6 suspek serta merampas 306 kg syabu bernilai RM 15.3 juta dalam serbuan ke atas empat lokasi di Pulau Pinang dan Keddah, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, pihaknya dengan bantuan JSJN Pulau Pinang dan Kedah bertindak melancarkan operasi pada 2 petang hingga 9 malam hasil maklumat risikan dan intipan yang dijalankan sebelum ini.

“Dalam serbuan pertama di Jelutong, di sini polis menahan dua lelaki berumur 28 dan 37 tahun, namun tiada sebarang rampasan dadah bersama mereka sebelum menyerbu sebuah rumah lain di Kuala Nerang, Kedah dan menangkap tiga lelaki berumur 19 hingga 30 tahun.

“Polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah juga di Kuala Nerang dan menahan seorang wanita berumur 30 tahun iaitu isteri kepada suspek lelaki berumur 37 tahun yang ditahan di Jelutong, namun tiada sebarang rampasan dadah daripada mereka,” katanya dalam sidang media seperti dilaporkan BERNAMA.

Pihak polis kemudian membuat serbuan di sebuah parkir Taman Pelangi Indah, Jelutong sebelum memeriksa sebuah kereta jenis Proton Waja yang diletakkan di situ. Hasil pemeriksaan tersebut, polis berjaya menemui dan merampas 306 kg syabu yang disorok dalam 15 guni.

Katanya, semua dadah tersebut dibungkus dalam 295 bungkusan teh cina dan setiapnya mempunyai berat sekitar 1 kg hingga 1.5 kg.

Ujar Mohmad Saleh lagi, siasatan awal polis mendapati bahawa kesemua dadah itu dibawa masuk daripada negara jiran sebelum diedarkan kepada sindiket pengedaran dadah di Malaysia manakala selebihnya akan diseludup ke negara jiran untuk pasaran di sana.

“Sindiket itu menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat transit dadah sebelum ia diseludup keluar berikutan negeri ini adalah lokasi strategik dan semua syabu yang dirampas itu boleh digunakan oleh lebih 1.5 juta penagih,” katanya.

Bagaimanapun katanya, polis masih menyiasat dalang uatama disebalik sindiket tersebut dan berapa lama mereka termasuk enam yang ditahan itu telah beroperasi dan terlibat dalam kegiatan berkenaan.

“Susulan penahanan mereka, polis merampas sejumlah pelbagai mata wang dan seutas jam tangan Rado serta menyita sebuah kereta Proton Waja. Semuanya bernilai RM16,000,” katanya.

Keenam-enam suspek yang ditahan itu bekerja kampung, namun dilaporkan mempunyai gaya hidup mewah berikutan mendapat upah yang mahal bagi menjalankan kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah dan tiga daripadanya turtut diuji positif dadah.

“Seorang daripada enam suspek itu turut mempunyai rekod lampau dan semua mereka kini direman bagi membantu siasatan. Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.