Siakap Keli

‘Healing Crisis’ Itu Hanya Mitos, Doktor Ini ‘Sekolah’ Kan Penjual Produk

Pada zaman sekarang, ramai wanita terlalu obses untuk kelihatan cantik hingga sanggup mengambil pelbagai supplemen atau produk. Ada di antara produk tersebut yang memberi kesan sampingan kepada si pengguna.

Sebagai contoh, produk penjagaan wajah. Ada wajah yang ditumbuhi jerawat dan menjadi kusam selepas menggunakan produk tersebut. Alasan yang diberi oleh si penjual adalah proses ‘healing crisis’ sebelum mendapatkan kulit yang cantik. Tapi, sejauh manakah kebenarannya?

Tampil membidas, Doktor Rusyainie Ramli menyelar penjual produk yang  menggunakan terma ‘healing crisis’ dalam meyakinkan pengguna untuk terus menggunakan produk yang dijual oleh mereka. Pilihan sebagai pembeli di tangan anda, berfikirlah secara bijak !

HEALING CRISIS TU MITOS!

Ni satu lagi terma yang bani suplemen, krim kilo, jamu, jus punah suka sangat pakai.

Contohnya, kalian beli 1 produk ni kat FB, jus terbaik di alam semesta, semua penyakit gerenti sembuh, bila kalian makan, kalian mula lah loya atau muntah, cirit-birit, sakit kepala, pening lalat, sakit otot dan macam-macam lagi lah.

Kalian pun runsing dan risau. Kalian pun cari balik tukang jual, dia senang saja petik butang, tu healing crisis katanya. Kalau dapat kat akak, akak dah sepuk. Tak payah cakap banyak.

Atau kalian beli produk tepek kat muka, mulalah keluar segala jerawat jeragat semua bila pakai. Bila tanya kat bani krim kilo, gerenti ayat dia, tu healing crisis namanya. Sekali lagi, dia memang layak disekeh.

HEALING CRISIS TAK PERNAH WUJUD. Ia sebenarnya ciptaan bani-bani produk untuk menafikan yang kalian tu dapat KESAN SAMPINGAN dari makan, minum atau guna produk mereka.

Kalau makan ubat yang doktor atau pegawai farmasi bagi, sebelum tu, kita dah bagitahu awal-awal kesan sampingan. Kita tak ada pun main sorok-sorok belakang pintu dengan kalian, dan cakap tu healing crisis. Dan kita akan ambil tanggungjawab dengan menangani kesan sampingan tu sebaik mungkin.

Bani suplemen suka guna ayat healing crisis ni. Kita yang dah sihat walafiat ni mereka takut-takutkan dengan segala mitos, contohnya ada kerak kat usus la, makanan dan minuman yang kita ambil seharian tu penuh toksik la, bla bla bla.

Alih-alih, bila kita ambil produk dia, kita dapat kesan sampingan, dia tak nak mengaku punya. Sebab kalau dia kata tu kesan sampingan, pastinya kalian berhenti terus guna produk dia. Maka melayanglah duit dia kan. Kalianlah lubuk mereka nak buat duit dengan mudah. Kalian kan senang terpengaruh.

Dengar cakap akak ni. Kalau ada bani yang macam akak sebut tu, dah mula guna frasa healing crisis, tu tanda nyata terang benderang yang kalian

1. Dah kena temberang. Terbaik punya.

2. Kena cepat cari doktor untuk bantu kalian rawat kesan sampingan tu sebab entah apa benda yang kalian dah telan atau guna pun, kita pun tak pasti.

Sekali lagi. HEALING CRISIS TU MITOS!

Sumber : Doktor Rusyainie Ramli

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.