Siakap Keli

Usaha Keluarkan Mangsa Gua Terperangkap, Ini Penerangan Bagaimana Ia Dilakukan

Semalam, pasukan penyelamat yang diketuai oleh pasukan khas SEAL Tentera Laut Diraja Laut berjaya mengeluarkan empat orang daripada keseluruhan 13 mangsa yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang, Chiang Rai di Thailand. Kesemua mangsa yang dilaporkan berada dalam keadaan baik bagaimanapun kini ditempatkan di hospital berdekatan.

Bagaimanapun, 8 lagi mangsa bersama-sama dengan seorang jurulatih terpaksa menunggu lebih lama di dalam gua, iaitu hari ke 16 mereka terperangkap untuk memberi ruang kepada pasukan penyelamat untuk berehat sebelum meneruskan operasi.

Operasi tersebut dijangka akan dimulakan pada pagi ini selepas bekas Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn yang mengetuai misi menyelamat mengesahkan bahawa pasukan penyelamat memerlukan waktu rehat diantara 10 hingga 20 jam sebelum misi diteruskan semula. Pengumuman tersebut dibuat kira-kira 10 jam yang lalu dan dunia mungkin akan melihat operasi menyelamat antara yang paling berbahaya di dunia disambung semula pada bila-bila masa sahaja.

Sehingga kini, media-media masih gagal untuk mengenal pasti nama empat mangsa yang berjaya diselamatkan semalam. Malah, ibu bapa kepada semua mangsa juga tidak mengetahui sama ada anak mereka antara salah seorang yang sudah dikeluarkan atau masih lagi menunggu di dalam gua.

Bagaimanapun tersebar khabar angin dalam media tempatan bahawa salah seorang mangsa yang sudah dikeluarkan adalah Mongkhol Boonpiam, 14, namun ia tidak dapat disahkan.

Apa Yang Berlaku Di Dalam Gua

Sehingga kini, pihak berkuasa Thailand mengesahkan seramai 90 orang penyelam terlibat dalam operasi tersebut membabitkan 50 orang daripada Thailand dan bakinya daripada beberapa negara sahabat antaranya Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Menurut laporan media, misi menyelamat tersebut dikatakan sangat berbahaya selain ia amat memenatkan walaupun kesemua penyelam yang terlibat merupakan penyelam berpengalaman dan mempunyai kemahiran khas untuk kerja-kerja menyelamat dalam gua.

Antara proses-proses yang perlu pasukan penyelamat tempuhi untuk tiba ke lokasi kesemua mangsa berada termasuklah perlu berjalan, memanjat dan menyelam dengan bantuan tali yang ditempatkan sebelum ini sebagai tanda untuk ke lokasi mangsa.

Bagaimana Mangsa Dikeluarkan

Menurut paparan infografik yang dilaporkan media antarabangsa, dapat dilihat bahawa kesemua mangsa akan diberikan topeng oksigen, yang mana penggunaannya lebih mudah buat mereka yang tidak berpengalaman dalam aktiviti selaman berbanding penggunaan alatan skuba konvensional.

Manakala, setiap mangsa yang dikeluarkan akan ditemani oleh dua penyelam berpengalaman dengan mangsa akan berada di tengah-tengah diantara dua penyelam atau disebelah penyelam pertama. Penyelam pertama yang berada dihadapan akan membawa tangki oksigen mangsa manakala penyelam kedua yang berada di belakang akan mengawal tali yang ditempatkan sebagai tanda jalan.

Dalam infografik yang berbeza, pasukan penyelamat turut diandaikan akan memberikan mangsa bergantung pada satu tali statik yang dipasang khas sebagai bantuan kepada mangsa untuk keluar.

Mereka kemudian akan bergerak hingga tiba di satu kawasan yang dikenali sebagai ”T-Junction” dimana ia adalah cabaran terbesar kepada semua anggota penyelamat. Kawasan ini sangat sempit hingga memaksa penyelam untuk menanggalkan tangki oksigen yang digalas mereka bagi membolehkan mereka melalui kawasan tersebut.

Selepas berjaya melalui ”T-Junction”, pasukan penyelamat akan tiba di ”Chamber 3” dimana pangkalan operasi pasukan penyelam ditempatkan. Mangsa-mangsa kemudian akan berehat sebentar sebelum dibimbing keluar secara jalan kaki oleh anggota penyelamat hingga tiba di pintu masuk.

Sehingga kini, operasi menyelamat tersebut telah pun meragut nyawa salah seorang penyelam apabila kehabisan bekalan oksigen ketika dalam perjalanan keluar selepas menghantar bekalan kepada mangsa. Bekas anggota Navy SEAL Thailand, Saman Gunan ditemui tidak sedarkan diri di bawah air oleh rakannya pada Jumaat.

Mangsa-Mangsa Yang Terperangkap :

1. Chanin Vibulrungruang, 11

2. Panumas Sangdee, 13

3. Duganpet Promtep, 13

4. Somepong Jaiwong, 13

5. Mongkol Booneiam, 13

6. Nattawut Takamrong, 14

7. Ekarat Wongsukchan, 14

8. Adul Sam-on, 14

9. Prajak Sutham, 15

10. Pipat Pho, 15

11. Pornchai Kamluang, 16

12. Peerapat Sompiangjai, 17

13. Ekapol Chantawong, 25

Sumber : BBC, The Guardian

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.