Siakap Keli

(Video) Kemungkinan Guna ”Kapal Selam” Untuk Keluarkan Baki Mangsa Tak Pandai Berenang

Taikun teknologi terkenal dunia, Elon Musk telah berkongsi beberapa keping gambar dan video yang menunjukkan sepasukan jurutera yang bekerja dengannya menguji sebuah kapal selam mini yang mungkin boleh digunakan untuk menyelamatkan mangsa-mangsa terperangkap dalam gua di Thailand.

Rakaman tersebut yang dikongsi oleh Musk di Twitter itu dipercayai diambil daripada sebuah kolam renang sekolah di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Musk pada Ahad, melalui satu kemas kini di laman Twitter miliknya mengesahkan bahawa kapal selam mininya itu dalam perjalanan ke Thailand dan akan tiba dalam tempoh 17 jam kemudian.

”Harap ia dapat membantu. Jika tidak, mungkin dapat digunakan di masa depan,” tweet Musk.

Maklumat yang dikongsi oleh Musk itu dibuat selepas kerajaan Thailand mengesahkan empat mangsa sudah berjaya dikeluarkan selepas terperangkap selama 15 hari dalam Gua Tham Luang, di Chiang Rai. Bagaimanapun, 9 lagi mangsa masih terperangkap dan dijangka sebahagiannya akan dikeluarkan awal pagi hari ini.

Musk yang juga pemilik kepada beberapa syarikat teknologi gergasi dunia antaranya SpaceX dan Tesla pada Jumaat memaklumkan sebahagian daripada pasukan juruteranya akan diterbangkan ke Thailand bagi membantu pasukan penyelam mencari cara terbaik untuk mengeluarkan mangsa-mangsa.

Berdasarkan penelitian yang dibuat oleh pasukan juruteranya, Musk memberitahu bahawa mereka mendapati bahawa penggunaan kapal selam mini mungkin boleh membantu mengeluarkan mangsa, terutamanya mereka yang tidak tahu berenang dan menyelam.

‘Kapal selam mini sangat ringan dan mudah untuk dikendalikan oleh dua penyelam. Malah, ia juga kecil dan mampu melalui ruang yang sempit dan kukuh,’‘ katanya yang turut menjelaskan bahawa pod tersebut turut dilengkapi dengan tangki oksigen.

Dalam video yang dikongsi oleh Musk tersebut, seorang lelaki yang ditempatkan di dalam pod sepanjang 6 kaki tersebut semasa ujian dijalankan dilihat berjaya dikeluarkan dalam keadaan baik.

Misi menyelamat tersebut antara misi menyelamat yang paling berbahaya yang pernah digerakkan manusia dan ia telah pun meragut nyawa seorang penyelam bekas anggota Navy SEAL Thailand, Sgt. Saman Kunan pada Jumaat.

Sumber : CNN

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.