Siakap Keli

Empat Lagi Berjaya Dibawa Keluar, Rancangan Perlu Diubah Jika Mahu Keluarkan Baki 5 Mangsa Sekaligus

Pasukan penyelamat seramai 13 pakar selaman gua warga asing dan lima orang penyelam pasukan khas Navy SEAL Thailand semalam dilaporkan berjaya mengeluarkan 4 mangsa menjadikan 8 mangsa keseluruhan yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang sejak 16 hari lalu sudah berjaya dibebaskan. Bagaimanapun misi menyelamat masih belum ditamatkan dengan baki mangsa seramai empat remaja dan seorang jurulatih masih terperangkap untuk hari ke 17, hari ini.

”Kesemua empat mangsa berjaya diselamatkan dan ketika ini ditempatkan di hospital untuk menerima rawatan lebih lanjut,” kata bekas Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn yang mengetuai operasi meyelamat itu.

”Ia bergantung kepada perancangan. Ketika ini kami merancang untuk mengeluarkan seramai empat orang mangsa bagi setiap operasi. Sekiranya pasukan penyelamat mahu mengeluarkan baki kelima-lima mangsa sekaligus, rancangan perlu diubah,” katanya lagi ketika diminta mengulas operasi seterusnya.

Pasukan penyelamat memberitahu rancangan mereka adalah untuk mengeluarkan seramai empat orang mangsa bagi setiap operasi yang dijalankan. Ini kerana pasukan penyelamat memerlukan masa sekitar 20 jam untuk berehat dan menyelaras semula semua tangki oksigen yang digunakan ketika operasi dijalankan. Sehingga kini, tidak dapat dipastikan bilakah operasi seterusnya akan disambung.

Operasi yang dijalankan pada hari Isnin berjalan lancar dengan pasukan penyelamat mengambil masa kurang dua jam berbanding operasi yang dijalankan pada Ahad, hasil latihan berterusan yang dilaksanakan oleh pasukan penyelamat. Pasukan penyelamat bagaimanapun enggan mendedahkan butiran-butiran kesemua mangsa yang sudah berjaya diselamatkan bagi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa yang masih terperangkap.

Ambulans Dipercayai Membawa Mangsa Ke Hospital

Pasukan penyelamat ketika ini mengeluarkan mangsa yang berada dalam keadaan terbaik terlebih dahulu. Walaupun bunyinya sedikit janggal, namun pasukan penyelamat mahukan mangsa dengan peluang untuk selamat paling tinggi diutamakan kerana tidak mahu operasi terganggu.

Mangsa-mangsa, yang berusia diantara 11 hingga 16 tahun serta seorang jurulatih berusia 25 tahun meneroka gua tersebut selepas tamat menjalani latihan rutin di sebuah akademik bola sepak. Kesemua mangsa bagaimanapun terperangkap di dalam gua apabila hujan lebat akibat musim monsun yang ketika ini melanda Thailand hingga menyebabkan air memenuhi gua dan menghalang laluan.

Nasib kesemua mangsa tidak diketahui hinggalah masuk hari kesepuluh apabila dua orang penyelam daripada United Kingdom berjaya menemui mereka terperangkap dalam satu bahagian gua. Ketika ini, dua penyelam ditugaskan bagi mengiringi setiap mangsa terperangkap yang ingin dikeluarkan. Operasi menyelamat ini dikatakan antara yang paling berbahaya pernah dilaksanakan oleh manusia.

Pasukan Penyelamat Berehat

Pada Jumaat, seorang pesara pasukan khas Navy SEAL Thailand meninggal dunia ketika bertugas secara sukarela menggantikan tangki oksigen disepanjang laluan jalan yang dipenuhi air. Mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh penyelamat lain, dipercayai lemas akibat kekurangan bekalan oksigen dalam tangki oksigen yang digunakannya.

Sumber : ABC News, CBS News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.