Siakap Keli

Pelajar Tahfiz Pernah Bergaduh Dengan Individu Luar – Pengetua Tahfiz

Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes dua remaja yang didakwa membunuh 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dalam satu kebakaran tragis tahun lalu, diberitahu bahawa pernah berlaku pergaduhan antara pelajar tahfiz itu dengan individu luar.

Pengetua pusat berkenaan, Ustaz Mohd Zahid Mahmood, 48, berkata pergaduhan itu difahamkan berpunca ekoran perebutan kawasan gelanggang untuk bermain futsal.

“Saya dapat maklumat daripada seorang ustaz di pusat tahfiz, beritahu ada kes, ada sedikit pergaduhan (antara pelajar tahfiz dan individu luar).

“Orang kawasan situ kata ini tempat kami punya, kawasan ni kami ‘conquer’ (kuasai), jadi tak bolehlah main, tapi budak-budak tahfiz kata kami yang sampai dulu,” katanya ketika pemeriksaan utama Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah pada perbicaraan hari ketujuh kes itu hari ini.

Saksi pendakwaan ke-17 itu bagaimanapun berkata pergaduhan itu dikira selesai selepas ustaz berkenaan meminta pelajar tahfiz bermain di kawasan lain kerana tidak mahu terus berbalah dengan individu luar tersebut.

Othman kemudian meminta saksi itu memandang ke arah dua tertuduh yang duduk di kerusi luar kandang tertuduh dan bertanyakan adakah saksi mengenali kedua-dua remaja itu.

Mohd Zahid yang membahasakan dirinya ‘ustaz’ bagaimanapun berkata, “ustaz memang tidak kenal.”

Selain itu Mohd Zahid memberitahu pelajar-pelajar tahfiz berkenaan diberikan waktu untuk beriadah di kawasan taman atau padang berhampiran pusat tahfiz dua kali seminggu iaitu pada hari Ahad dan Rabu atau hari tambahan pada Isnin atau Selasa.

“Mereka dipantau oleh tiga orang ustaz, yang mengiringi mereka (beriadah) dan bermain bersama,” katanya menambah pelajar tahfiz hanya bermain sesama sendiri dan tidak bermain dengan orang luar.

Dua remaja lelaki yang ketika itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5.15 pagi, 14 Sept 2017, seramai 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz itu yang terbakar.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok. – Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)