Siakap Keli
PUTRAJAYA, 9 Julai -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) Mohamed Hanipa Maidin (dua, kiri) kelihatan ceria sebelum rebah daripada pentas ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Bangunan Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pengsan Ketika Bertemu PM, YB Hanipa Maidin Dilaporkan Stabil

Yang Berhormat (YB) Mohamed Hanipa Maidin merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang dilaporkan pengsan pada perjumpaan Perdana Menteri dengan warga JPM pagi tadi, telah sedar dan berada dalam keadaan stabil.

Pegawai media beliau, Anas As-Said Zaharuddin memberitahu bahawa YB Hanipa, 49, bagaimanapun ketika ini masih menjalani rawatan di Hospital Putrajaya, seperti dilaporkan BERNAMA.

Doktor masih membuat pemeriksaan mengenai punca beliau rebah. Saya akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Anas As-Said pada masa yang sama juga memohon kepada orang ramai agak tidak mengambil kesempatan dengan menyebarkan berita spekulasi berkenaan keadaan kesihatan YB Hanipa.

Menurut laporan, YB Hanipa dikatakan pengsan kira-kira 8.40 pagi tadi ketika Tun Dr. Mahathir sedang berucap hingga menimbulkan kekecohan. YB Hanipa ketika itu berdiri paling kanan dalam barisan menteri dan timbalan menteri JPM, turut dilaporkan tiba-tiba jatuh daripada pentas.

Ahli Parlimen Sepang itu kemudian diberi rawatan kecemasan oleh anggota medik sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

YB Hanipa adalah antara tiga timbalan menteri JPM yang baru mengangkat sumpah pada 2 Julai lepas dan memegang tanggungjawab dalam urusan undang-undang.

Sebelum ini pada tahun 2016, YB Hanipa pernah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila didapati pengsan ketika persidangan Dewan Rakyat. Media sebelum ini pernah melaporkan bahawa YB Hanipa menjalani pembedahan selepas kejadian itu berikutan pendarahan otak akibat tekanan darah tinggi.

Manakala seorang lagi rakan dalam Pakatan Harapan, YB Fahmi Fadzil yang menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai melalui kemas kini di Twitter memaklumkan bahawa YB Hanipa berada dalam keadan baik dan memberitahu bahawa ia kemungkinan berpunca daripada keletihan.

YB Fahmi memaklumkan semua ahli parlimen mempunyai jadual padat sejak pilihan raya yang lalu selain perlu memenuhi beberapa jemputan ketika Ramadan dan Syawal selain terlibat dalam proses pembentukkan kerajaan baru.

Sumber : BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.