Siakap Keli

Anak Dibaham Buaya, Ibu Sanggup Terjun Ke Sungai Untuk Selamatkannya

Niat seorang budak lelaki untuk mengambil air di sungai berakhir dengan tragedi apabila dia digigit dan diseret ke dalam sungai oleh seekor buaya.

Yadi Putra, 11, dari Tanjab Timur, Jambi, Indonesia bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh ibunya yang sanggup terjun ke dalam sungai tersebut.

Difahamkan, dalam kejadian pada Sabtu sekitar pukul 10.30 malam, Yadi dikatakan pergi ke sungai seorang diri yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk mengambil air.

Ketika sedang membongkok, rupanya dia telah menarik perhatian seekor buaya di situ. Sepantas kilat, buaya itu menggigit tangan kirinya sebelum mengheret dia ke dalam sungai.

“Saya mendengar jeritan anak saya, saya terus menuju ke sungai dan berenang untuk selamatkan anak saya yang digigit buaya.

“Buaya itu kemudian melepaskan anak saya dan terus hilang,” kata ibunya, Rasmi, 37, ketika ditemui wartawan di Rumah Sakit Nurdin Hamzah.

Gambar : Yadi ketika dirawat di Rumah Sakit Nurdin Hamzah – Detik News

Rasmi berkata, anaknya itu mahu mengambil air untuk menyiram bunga di sekitar rumah.

Pada masa itu paras air sungai agak tinggi tetapi tidak menyangka anaknya itu nyaris menjadi makanan buaya.

“Sungai itu memang tak jauh dari rumah, paras air sungai juga dalam keadaan naik. Jika saya lambat tiba menyelamatkan anak saya yang sudah terseret sejauh 15 meter, mungkin anak saya sudah menjadi santapan buaya itu,” katanya.

Yadi kini sedang dirawat di hospital dan dilaporkan mengalami luka-luka di bahagian badan akibat diseret buaya.

Tangan kirinya juga harus diberikan rawatan rapi kerana luka akibat gigitan buaya tersebut.

Sumber : Detik News

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.