Siakap Keli

Boleh Bersalin Normal Atau Tidak Jika Bayi Terbelit Tali Pusat?

Daripada satu kajian, kadar kejadian tali pusat terbelit leher bayi semasa kandungan bayi cukup bulan adalah 33-35% dan hampir 3.5% melibatkan belitan berganda.

Nuchal cord atau tali pusat terbelit ini antara situasi yang sangat menakutkan bagi bakal-bakal ibu yang hanya menunggu masa untuk melahirkan.

Pun begitu, bahayakah komplikas ini kepada kedua-dua pihak? Ibu dan bayi yang bakal lahir.  Apakah punca dan proses yang perlu dilakukan sebaik saja ibu tahu bahawa ibu tersebut bakal melahirkan bayi yang mengalami komplikas ini?

Berikut adalah penjelasan daripada Doktor Sharifah mengenai komplikasi ini berdasarkan bukti-bukti perubatan yang kukuh.

  • Selagi bayi berada didalam rahim, belitan tali pusat dileher bayi tidak merbahaya dan ia adalah satu perkara yang lazim terutamanya jika tali pusat itu panjang.
  • Belitan tali pusat dileher bayi juga bukanlah satu sebab untuk pembedahan cesarean kerana ramai ibu yang bersalin secara normal, didapati ada tali pusat dileher bayi semasa bayi dilahirkan.  Doktor akan memotong atau melepaskan tali pusat dari leher bayi sebaik sahaja kepala bayi keluar dan seterusnya diikuti oleh bahagian badan bayi.  Jika ketat belitan tali pusat dileher bayi, kadang kadang bayi boleh kelihatan biru seketika tetapi akan pulih segera

  • Ada terdapat peratusan yang kecil ibu mengandung di mana belitan tali pusat terlalu ketat dileher bayi. Jika belitan tali pusat itu terlalu ketat atau tali pusat menjadi terlalu pendek, semasa proses bersalin, kepala bayi tidak akan dapat turun kebawah dan bekalan oksigen bayi boleh terjejas.  Dalam kes yang sebegini, doktor akan mencadangkan pembedahan cesarean kecemasan.

Apa yang perlu ibu lakukan jika diberitahu ada tali pusat terbelit dileher bayi?

1.  Relax!  Tak perlu berbuat apa apa sehingga bersalin. Bayi ada kebolehan menanggalkan tali pusat dilehernya sendiri.

2.  Boleh bersalin normal atau tidak?  Boleh cuba dan lihat. Jika ada apa apa masalah tentang bekalan darahdan  oksigen kepada bayi akibat jerutan tali pusat yang ketat, biasanya doktor akan dapat mengesannya dengan ujian pantauan semasa melalui proses bersalin. Hanya segelintir ibu sahaja yang perlu pembedahan cesarean kecemasan.  Jadi, ibu jangan cemas.

Rujukan:

1.Sheiner E at al 2006.  Nuchal cord is not associated with adverse perinatal outcome. Arch Gynecol Obstet. 2006 May;274(2):81-3. Epub 2005 Dec 23

2. Miser WF 1992. Outcome of newborns with nuchal cord. J Fam Pract. 1992 Apr;34(4):441-5

3.Ghee T et al 2007. Nuchal cord entanglement and outcome of induction of labour. J Prenat Med. 2007 Oct;1(4):57-60

Sumber: Dr Sharifah

Nur Farra