Siakap Keli

Unit Tahfiz Al-Quran Al Barakah Tangguh Untuk Dijual

Penjualan Unit Tahfiz Al-Quran Al Barakah di Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi di sini, akan ditangguhkan buat sementara kerana perlu melakukan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri terlebih dahulu.

Pengasas dan Pengetua pusat berkenaan, Datuk Mohd Kazim Elias berkata kerajaan negeri serta beberapa pihak menyatakan kesudian untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pusat pendidikan tersebut.

“Saya menerima panggilan daripada pihak kerajaan negeri pagi ini yang mahu berbincang dengan saya mengenai masalah yang dihadapi pusat ini.

“Selepas perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri saya akan mengumumkan keputusan sama ada menutup atau tidak unit tahfiz pada Ogos ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penjualan unit tahfiz berkenaan yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Pusat Pendidikan Al-Barakah yang beroperasi pada 2006 mempunyai tiga unit iaitu Tahfiz Al-Quran, Pondok Pengajian Dewasa dan Tadika Nurul Barakah.

Jika mana-mana individu atau organisasi yang berhajat untuk memberikan sumbangan kepada Pusat Pendidikan Al-Barakah ini boleh menyalurkan terus ke akaun bank yang tertera.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)