Siakap Keli

(Video) Selamat Tinggal Real Madrid, Selamat Datang Juventus

Cristiano Ronaldo, salah seorang pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman sah meninggalkan gergasi Sepanyol dan Raja Eropah, Real Madrid untuk mencari angin baru di kota Turin untuk beraksi bersama-sama dengan kelab Juventus.

Permintaan Ronaldo kepada majikan lamanya untuk berpindah setelah sembilan tahun menabur bakti akhirnya direstui apabila Real Madrid dikatakan bersetuju dengan yuran perpindahan sebanyak €100 juta ( RM 473 juta), jumlah yang agak baik untuk seorang pemain yang sudah pun berusia 33 tahun.

Ronaldo dan ejennya, Jorge Mendes dikatakan terbang ke Turin pada Selasa untuk menyelesaikan beberapa perkara mengenai perpindahan tersebut. Pemenang Ballon d’Or itu dikatakan bersetuju untuk menandatangani kontrak bersama gergasi Itali itu selama empat tahun. Dengan kontrak tersebut, Ronaldo bakal menjana pendapatan sebanyak €30 juta ( RM 141 juta) setahun.

”Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kelab dan bandar ini. Saya menghabiskan sembilan tahun yang indah bersama-sama kelab ini,” kata Ronaldo yang mengutus satu surat khas kepada peminta-peminatnya di Real Madrid.

”Real Madrid berjaya menambat hati saya, begitu juga dengan keluarga saya, kerana itu saya mahu mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kelab, presiden, pengarah, raka-rakan sepasukan, staf-staf, psioterapi, doktor dan semua pihak yang bekerja dengan saya selama ini.

”Terima kasih semua. Sudah tentu, seperti yang saya ucapkan ketika kali pertama menjejakkan kaki di stadium ini (Santiago Bernabue) sembilan tahun yang lalu : Hala Madrid,” katanya.

Real Madrid pada Selasa turut mengeluarkan satu kenyataan rasmi bagi mengucapkan terima kasih kepada salah seorang lagenda mereka itu.

”Real Madrid mengambil kesempatan melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pemain (Ronaldo) yang sudah membuktikan bahawa dia ingin menjadi yang terbaik di dunia dan menjadi salah seoran pemain paling cemerlang dalam sejarah kelab.

”Disebalik memenangi pelbagai trofi kejuaraan bersama Real Madrid, Ronaldo adalah contoh pemain yang berdedikasi, bekerja keras, bertanggungjawab, berbakat dan sentiasa mengembangkan potensi diri,” menurut kenyataan kelab itu.

Ronaldo ketika ini memegang rekod sebagai penjaring terbanyak Real Madrid dengan 451 jaringan dalam 438 perlawanan. Bersama-sama Real Madrid juga, Ronaldo memenangi 4 anugerah Ballon d’Or serta 3 Kasut Emas.

‘Bagi Real Madrid, Ronaldo akan sentisa menjadi simbol terbesar kami dan contoh yang unik kepada generasi kami yang akan datang. Real Madrid akan sentiasa menjadi rumah kamu,” penutup kenyataan daripada Real Madrid.

Sahabat baiknya di Real Madrid dan juga kapten kelab, Sergio Ramos juga turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Ronaldo melalui Twitter.

”Ronaldo, nombor dan jaringan kamu serta pelbagai kejuaraan yang kita menangi bersama sudah cukup menjadi bukti. Kamu berjaya mendapat tempat yang istimewa di dalam sejarah Real Madrid. Sebagai Madridistas, kami akan kenang kamu selamanya. Ianya satu penghormatan berpeluang bermain bersama-sama kamu. Selamat maju jaya untuk kamu,” katanya.

Manakala Sami Khedira, bekas rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid yang ketika ini beraksi bersama-sama Juventus pula mengalu-alukan kedatangan Ronaldo ke Juventus.

‘Selamat datang ke Turin, Ronaldo. Kita rakan yang hebat di Real Madrid dan saya tidak sabar untuk beraksi bersama-sama dengan kamu lagi. Hari ini adalah hari yang hebat untuk Juventus,” katanya.

Sumber : The Guardian

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.