Siakap Keli

Anak Anda Selalu ”Bad Mood”? Perhatikan Tanda-Tanda Ini, Mereka Mungkin Alami Depresi

Kanak-kanak juga seperti orang dewasa, manusia yang punya hati dan perasaan. Maka, adil jika kita berpendapat bahawa segala tekanan yang dialamai oleh orang dewasa juga sebenarnya boleh juga dirasai oleh seorang kanak-kanak. Cuma yang berbeza, mungkin pada situasi dan puncanya sahaja.

Jika si ibu atau ayah tertekan di tempat kerja, anak-anaknya mungkin tertekan di sekolah. Ibu dan ayah risau sasaran syarikat tidak tercapai, anak-anak pula risau dengan turun naik markah peperiksaan. Atau boleh jadi, ibu bapa menghadapi masalah dengan rakan sekerja, anaknya pula sering dibuli rakan sekolah. Semuanya melibatkan tekanan.

Cuma, orang dewasa lebih bijak dalam menangani tekanan yang dihadapi, berbanding anak kecil yang masih cetek pengalaman. Ditambah pula anda tidak memperuntukkan masa secukupnya untuk anak-anak anda berkongsi apa yang terjadi dalam harinya, maka wajarlah anda sebagai ibu bapa memerhatikan tingkah laku ini yang mungkin ditunjukkan oleh mereka. Ia boleh menjadi petanda anak anda sedang mengalami depresi.

1. Markah Peperiksaan Semakin Menurun

Kanak-kanak yang mengalami depresi membuatkan mereka sukar untuk kekal fokus di dalam kelas, sekaligus menghadapi masalah untuk belajar atau menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru. Jika anak anda seorang yang bijak, secara tiba-tiba menunjukkan penurunan prestasi, anda wajar untuk meluangkan masa duduk dengan mereka sebentar untuk menyelamai apa yang sedang dilalui oleh anak-anak anda ketika itu.

2. Cukup Tidur Tetapi Selalu Tidak Bermaya

Kanak-kanak memang diketahui sukar tidur awal, namun ibu bapa perlu peka dengan perubahan tabiat tidur anak-anak anda kerana ia mempunyai kaitan dengan depresi. Antara perubahan tersebut adalah sering terjaga pada waktu tidur

Sesetengah kanak-kanak, walaupun meluangkan masa untuk tidur secukupnya, mereka yang mengalami depresi sering bangun dalam keadaan tidak bermaya. Malah, kadang-kala ia turut menjejaskan aktiviti harian anak-anak anda seperti enggan bermain atau bergaul dengan kawan-kawan seperti biasa.

3. Tiba-Tiba Cakap Diri Tidak Berharga

Anak-anak anda yang masih kecil mungkin tidak tahu secara jelas apa yang dimaksudkan dengan perasaan rasa dihargai, tetapi jika mereka secara tiba-tiba meluahkan kata-kata rasa tidak dihargai atau seolah-olah tidak dihargai, anda harus risau dan memberi tumpuan kepadanya.

4. Memencilkan Diri

Kanak-kanak atau orang dewasa yang mengalami depresi seringkali menghindarkan diri daripada orang ramai. Misalnya anak anda seorang peramah dan sering bergaul dengan orang ramai, tiba-tiba merasa tidak kisah jika tidak diajak keluar, ia tanda ada sesuatu yang tidak kena.

5. Komunikasi Menjadi Tegang

Orang dewasa yang depresi mungkin biasanya menunjukkan tanda-tanda kemurungan, tetapi berbeza dengan kanak-kanak. Mereka cenderung menunjukkan tanda-tanda seperti menyampah apabila anda cuba berkomunikasi dengannya.

Waktunya juga mungkin berbeza-berbeza, misalnya anak anda mungkin tidak mahu berbicara mengenai hal-hal disekolah atau menunjukkan tingkah laku kurang enak ketika mahu atau pulang ke sekolah, tetapi moodnya lebih baik ketika di meja makan.

6. Kerap Menangis Berbanding Biasa

Menangis adalah cara paling mudah untuk anak kecil anda menunjukkan emosi mereka. Namun anda harus risau sekiranya anak anda menangis lebih kerap daripada biasa, dan wajar membawanya berjumpa dengan pakar kanak-kanak.

7. Anak Anda Tidak Mahu Ditenangkan

Anak anda buat perangai itu perkara normal terutamnya jika dia gagal mendapatkan sesuatu. Biasanya, orang yang berada dalam keadaan sedih mahu didampingi dan menerima sokongan daripada orang tersayang.

Namun sekiranya anak anda memencilkan diri dan tidak mahu anda sebagai ibu bapa cuba menenangkannya, ia mungkin menjadi petanda anak-anak anda mengalami depresi.

Sumber : Reader Digest

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.