Siakap Keli

FAM Bincang Hantar Surat Bantahan Kepada AFF

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang mempertimbang kemungkinan untuk menghantar surat bantahan rasmi susulan insiden pemain negara diserang penyokong Indonesia ketika aksi separuh akhir Kejohanan Piala AFF Bawah-19 tahun (B-19) 2018 di Surabaya, Indonesia, malam tadi.

Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata beliau akan berbincang dengan Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin, yang bakal memulakan tugas sebagai presiden badan induk bola sepak negara itu esok, untuk mengemukakan bantahan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Beliau berkata tindakan penyokong tuan rumah berkelakuan ganas dengan membaling botol minuman dan batu, sehingga menyebabkan pemain negara lari ke dalam bilik persalinan untuk menyelamatkan diri, merupakan kelakuan yang tidak sihat.

“Perkara begini boleh menimbulkan kegerunan dan ketakutan kepada pemain sehingga menjejaskan prestasi, yang mana mereka akan takut untuk beraksi di Indonesia.

“Memandangkan ada banyak lagi kejohanan yang bakal diadakan di Indonesia selepas ini, seperti Sukan Asia, Piala AFF 2018 (jika Malaysia bertemu Indonesia pada peringkat kalah mati) dan futsal, ia boleh menimbulkan ketidakselesaan dan ini tidak adil buat pemain kita.

“Saya akan berbincang dengan Hamidin mengenai menghantar surat bantahan kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) supaya keadaan yang boleh mendatangkan bahaya kepada pemain kita itu tidak berulang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada aksi di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, malam tadi, skuad muda negara menewaskan tuan rumah, Indonesia 3-2 dalam penentuan penalti untuk mara ke final buat kali keenam, bertemu Myanmar pada esok.

Terdahulu kedua-dua pasukan terikat 1-1 apabila tuan rumah membuka jaringan seawal minit kedua menerusi sepakan penalti Egy Maulana Vikri, sebelum Malaysia menyamakan kedudukan melalui jaringan Muhammad Syaiful pada minit ke-15.

Sementara itu, Hamidin menerusi kenyataan berkata beliau telah menghubungi Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) Joko Driyono yang berjanji akan meningkatkan tahap kawalan keselamatan pasukan kebangsaan sepanjang menjalani latihan pada hari ini dan juga ketika di hotel penginapan.

Berdasarkan maklumat yang diterima, insiden itu berlaku ketika pemain hendak masuk ke terowong menuju ke bilik persalinan selepas perlawanan, bagaimanapun kekecohan itu berjaya dikawal pihak berkuasa dan tiada sebarang kecederaan dialami pemain serta pegawai pasukan B-19 kebangsaan, katanya.

“Joko Driyono sebagai mewakili PSSI turut meminta maaf atas insiden yang tidak diingini itu. Saya juga telah menghubungi Naib Presiden FAM Datuk Ab Ghani Hassan selaku pengurus pasukan B-19 kebangsaan dan juga pegawai pasukan kita di Surabaya.

“Kekecohan itu telah menyebabkan pasukan B-19 kebangsaan keluar lewat hampir sejam untuk pulang ke hotel penginapan. Bagi pihak saya dan FAM, kami akan menunggu laporan daripada Match Commissioner (MC) dan pengadil sebelum mengambil apa-apa tindakan selanjutnya berhubung insiden ini.

“Saya juga telah dihubungi Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan menjelaskan kepada beliau semua apa yang berlaku. Insya-Allah semuanya dalam keadaan terkawal,” katanya. – Bernama

BACA: (Video) Pemain Malaysia B19 Terpaksa Berlari Elak Dibaling Objek Dari Penyokong Indonesia

Kenyataan: FAM

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Tambah komen

Popular

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di