Siakap Keli

Pantau Tabiat Buruk Salahguna Kemudahan OKU

Menyalahguna kemudahan yang disediakan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) antara tabiat buruk sesetengah anggota masyarakat yang perlu diberi perhatian pihak yang berkenaan.

Pengalaman pahit ini dikongsi Azila Alias,45, atlet paralimpik negara dalam sukan ping pong dengan penulis sewaktu sesi temubual dengan beliau untuk rencana mengenai projek usahawan baru-baru ini.

“Masih ramai tidak faham mengapa sesuatu kemudahan itu disediakan khas untuk OKU, misalnya tandas yang dikhaskan untuk OKU kerana masih ada yang masih menggunakannya tanpa rasa bersalah.

“Bila ditegur, kami pula kena marah. Ada pula dengan selamba kata ‘maaf’ tetapi yang paling menyedihkan apabila ada dengan sinis menyuruh golongan seperti kami tunggu sajalah kerana bukannya berdiri tetapi duduk di kerusi roda. Bukan letih pun,” kata Azila.

Keluhan yang dikongsi Azila ini membuatkan saya ingin terus bertanya lebih lanjut tentang pengalaman pahitnya itu.

Tambahan pula, beliau yang berkerusi roda disebabkan penyakit Spina Bifida jenis “Meningomyelocoele”, masih mempunyai masa untuk berbual kerana rakan yang akan menghantarkannya ke rumah di Klang belum lagi sampai.

Menceritakan pengalaman sebelum ini, beliau berkata bukanlah sesuatu yang asing baginya dan juga rakan berkerusi roda lain terpaksa menunggu lama untuk menggunakan sesuatu perkhidmatan khas OKU yang seringkali disalahgunakan oleh orang normal.

Biasanya perbuatan tidak bermoral ini berlaku semasa waktu ‘puncak’ ketika orang ramai memenuhi sesuatu tempat sama ada di pusat beli-belah ataupun Hentian Rehat dan Rawat (R&R) khususnya pada musim perayaan mahupun hari minggu.

Alasan ‘ala guna sekejap saja’, ‘tandas OKU besar dan selesa’, ‘tandas lain penuh’ kerap kali diberikan untuk mewajarkan perbuatan tidak beretika itu. Walhal, tidak ramai mengetahui bahawa ketidakprihatinan tersebut sebenarnya bukan sahaja menyukarkan golongan istimewa ini bahkan juga berisiko buat kesihatan mereka.

“Sedih sebenarnya dengan sikap segelintir masyarakat yang sengaja buat tidak faham. Bagi OKU berkerusi roda dan ada masalah ‘spinal’ seperti saya, membuang air kencing perlu disegerakan kerana berisiko jangkitan kuman kalau tahan terlalu lama.

“Tetapi orang tidak faham yang pergerakan kami terhad. Lagipun, bukannya apabila berpeluang masuk ke tandas OKU sudah boleh terus buang air kecil seperti orang normal.

“Cuba bayangkan bagaimana dari kerusi roda hendak angkat badan ke tandas duduk, kemudian tanggalkan seluar dalam keadaan kaki tidak boleh berdiri dan diangkat serta digerakkan. Untuk tanggalkan seluar sahaja pun sudah ambil masa lama,” katanya.

Memburukkan lagi keadaan apabila lantai tandas OKU basah disebabkan ada yang mengambil kesempatan menggunakan ruang tandas yang besar untuk memandikan anak mereka. Biasanya ia berlaku di R&R.

Dengan keadaan lantai licin, ia bukan sahaja tidak menyelesakan tetapi turut membahayakan OKU berkerusi roda kerana boleh terjatuh semasa hendak bangun ke arah pemegang yang disediakan.

“Susah sebenarnya lantai licin. Ada yang berkerusi roda ini menggunakan tiub air kencing atau pampers. Jadi bila lantai dah basah, bagaimana mereka hendak basuh dan tukarlampin pakai buang?

“Itu belum lagi termasuk tandas OKU yang tidak dibaiki seperti tidak ada saluran paip, pemegang tandas patah dan sebagainya,” jelas Azila.

Mendengar keluhan wanita ini, membuatkan saya terdiam sejenak. Tidak dinafikan bahawa masih ramai masyarakat di luar sana dengan begitu mudah dan tanpa rasa bersalah mahupun malu terus menerus menyalahgunakan kemudahan OKU.

Antara kemudahan lain untuk OKU yang sering disalahgunakan selain tandas OKU adalah tempat parkir.

Di mana silapnya atau siapa yang perlu disalahkan? Hendak dikatakan kurang kesedaran, rasanya sudah pelbagai kempen mahupun iklan tanggungjawab sosial mengenainya sudah lama dilaksanaan, sama ada digerakkan oleh pihak kerajaan, swasta mahupun pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan.

Bagi saya perbuatan ini lebih kepada sikap ‘pentingkan diri’. Lazimnya lot parkir kenderaan OKU ditempatkan berdekatan pintu masuk pasar raya, klinik, kedai bagi memudahkan pergerakan mereka yang kurang upaya.

Mungkin atas faktor itulah menyebabkan petak parkir OKU sering kali “dirembat” oleh mereka yang tidak bertangungjawab. Walhal tanda serta gambar ‘orang berkerusi roda’ di parkir berkenaan sudah tertera dengan jelas dan juga sebesar-besarnya tetapi dibuat seperti nampak tidak nampak sahaja.

“Ada yang menyangkakan kemudahan parkir OKU adalah untuk semua OKU. Asalkan ada pelekat OKU di kereta sudah boleh guna.

“Sedangkan fasiliti ini hanyalah disediakan khas kepada pemandu yang berkerusi roda sahaja. Mereka yang berkerusi roda tetapi kereta dibawa oleh kawan mahupun ahli keluarga juga tidak layak sebenarnya untuk parkir di petak khas ini,” jelas Azila.

Selain itu, ada juga yang kononnya ‘bijak’ tidak parkir di lot OKU tetapi dengan sengaja meletakkan motosikalnya betul-betul berdekatan sebelah garis petak OKU. Situasi ini berlaku di kawasan kediaman kawan saya dan alasan diberikan: “Senang, dekat dengan lif”.

Kalau dilihat dari sudut pandangan kasar memanglah tidak menyalahgunakan kemudahan OKU, namun posisi kenderaan beroda dua itu sebenarnya menyukarkan pemandu berkerusi roda untuk membuka pintu dan keluar dari kenderaan mereka.

Itu tidak lagi termasuk sikap beberapa pengusaha restoran yang meletakkan kerusi meja makan di petak parkir OKU pada waktu malam serta pemilik kedai runcit yang menempatkan barangan jualan mereka sehingga ke koridor pejalan kaki.

“Bayangkanlah kalau orang yang sihat upaya terpaksa melencong apabila berjalan di kedai runcit disebabkan pelbagai barangan niaga dijual sehingga ke luar kedai, bagaimana pula dengan mereka yang berkerusi roda?

“Nak tak nak kami terpaksa keluar daripada laluan tersebut dan melalui jalan yang berbatu dan tidak rata. Ada ketikanya roda kerusi roda kami boleh tersekat di celah longkang yang ditutup dengan besi tidak rapat.

“Selain itu, ada juga sikap sesetengah pengusaha yang tamak dan mengubahsuai kemudahan laluan “ramp” yang terletak berdekatan restoran mereka semata-mata ingin mencantikkan dan memperbesarkan lagi ruang makan mereka,” katanya.

Seperti OKU lain, Azila juga amat berharap pihak berkuasa tempatan memantau penyalahgunaan kemudahan OKU ini. Bagi beliau, mungkin cara itu langkah terbaik untuk mendidik masyarakat yang masih lagi berdegil untuk prihatin dengan keperluan warga istimewa ini.

Masyarakat harus sedar bahawa golongan OKU adalah sebahagian daripada kita. Oleh itu, mereka juga berhak mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat lain.

Hormatilah kemudahan mereka dan janganlah kita ambil mudah akan perkara ini. Mungkin bagi anda ia hanyalah isu remeh tetapi buat golongan OKU, ia adalah cabaran terbesar dalam kehidupan mereka.

(Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam isu yang dikupas oleh penulis)

Sumber: Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)

Tambah komen

Sumbang Artikel Anda

Anda suka menulis dan berkongsi? Tetapi tiada medium yang sesuai? Anda dialu-alukan untuk menulis di Siakap Keli sekiranya penulisan anda itu suatu perkara yang manfaat.

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di