Siakap Keli

Bekas Timbalan Panglima TLDM, Meninggal Dunia

Bekas Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan meninggal dunia awal hari ini di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini, dipercayai akibat kanser kolon.

TLDM dalam kenyataan hari ini berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1.55 pagi, ​​​​​pada usia 59 tahun.

“Solat jenazah dilaksanakan selepas solat subuh di Masjid Khalid Al-Walid sebelum jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda di sini pagi ini,” kata kenyataan itu.

Allahyarham yang berasal dari Kuala Terengganu memegang jawatan sebagai Timbalan Panglima TLDM pada 18 Nov 2015.

Sebelum itu, Allahyarham turut menjawat jawatan Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia.

Allahyarham Anuwi menyertai TLDM pada Februari 1978 setelah menamatkan latihan di Pusat Latihan Kadet dan Rekrut, Kem Khatib, Sembawang, Singapura dan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan pada bulan Mei 1980.

Allahyarham juga pernah memegang beberapa jawatan penting iaitu Pegawai Memerintah Kapal Diraja (KD) Serampang, Kapal Layar Diraja (KLD) Tunas Samudera dan KD Mahawangsa selain pernah menjadi Asisten Ketua Staf Rancang dan Operasi, Markas Tentera Laut dan Pengarah Risik Laut di Markas Tentera Laut.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Adida Abdul Aziz, seorang anak perempuan dan dua anak lelaki. – Bernama

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)